Piala Dunia Ragbi Dipertandingkan Di Benua Asia Buat Pertama Kali Dalam Sejarah

Buat julung kalinya, Piala Webb Ellis akan dipertandingkan di benua Asia apabila Jepun diberi tanggungjawab untuk menjadi hos Piala Dunia Ragbi ke-sembilan.

Bakal dipertandingkan dari 20 September 2019 sehingga 2 November 2019, 20 pasukan akan berentap di 12 lokasi berbeza, dari Sapporo ke Kumamoto. Dimainkan setiap empat tahun, Piala Dunia Ragbi merupakan sukan ketiga terbesar dunia selepas Olimpik dan Piala Dunia FIFA.

Sememangnya pemilihan Jepun sebagai negara hos kali ini merupakan langkah berani buat World Rugby yang mahu menyebarkan sayap piala dunia melangkaui negara-negara tradisi ragbi.

Terdapat tiga persoalan utama yang wajar disentuh atas mengapa Jepun dipilih sebagai destinasi ragbi piala dunia.

Memastikan lebih ramai anak muda bermain ragbi.

Dalam pelan World Rugby untuk menyebarkan sayap ragbi ke seluruh dunia, Asia dilihat sebagai benua utama atas sebab ianya merupakan benua terpadat di dunia dan mempunyai pelapis muda yang cukup ramai.

Jika dibandingkan dengan lokasi-lokasi yang lalu, sukan ragbi dilihat telah berkembang pesat di negara-negara seperti England, Australia dan Afrika Selatan.

Jepun turut dilihat sebagai kuasa perubahan sukan dan social kerana ragbi akan terus dipromosi melalui kelas-kelas pengenalan untuk kanak-kanak sepanjang pertandingan itu berlangsung.

Populariti sukan ragbi di Jepun

Jepun mengalahkan Afrika Selatan 34-32

Di Jepun ragbi merupakan sukan yang besar, meski tidak se-popular baseball atau bola sepak. Namun begitu, meski tidak sebesar sukan-sukan ini, terdapat 123,000 pemain berdaftar menjadikannya negara pemain ragbi terbesar di Asia.Meski jauh di belakang England, 2.1 juta pemain berdaftar dan Australia, 670,000 pemain berdaftar, impak Jepun telah lama dirasai apabila melayakkan diri ke setiap piala dunia sedari 1987.

Kejutan terus dibuat oleh pasukan Brave Blossoms apabila mereka memenangi tiga dari empat  perlawanan pada tahun 2015, dan yang terkini kejutan keatas juara dunia dua kali Afrika Selatan. Malah Jepun juga merupakan semi-finalist 7s di peringkat olimpik, tewas perlawanan pingat gangsa kepada Afrika Selatan.

Ragbi sudah lama bertapak di Jepun.

Hanazono Rugby Stadium

Ragbi telah diperkenalkan di Jepun sejak 1866, apabila Yokohama Football Club ditubuhkan. Permainan yang dimainkan diantara kelasi British pada tahun 1874 menjadi permainan ragbi pertama di Jepun.

Sukan ragbi juga sudah lama bertapak di peringkat pengajian tinggi dan sekolah menengah di Jepun. Malah Hanazono Rugby Stadium yang dibina pada tahun 1929 merupakan stadium ragbi pertama di Jepun dan telah menjadi destinasi tahunan pertandingan ragbi antara sekolah-sekolah sejak 1963.

Ranking pasukan ragbi Jepun juga wajar disegani apabila ia merupakan pasukan ke 11 terbaik dunia dan ragbi wanitanya ranking ke 16 dunia.

Dari sudut ekonomi, kedatangan piala dunia ragbi ke jepun mampu memberi keuntungan sebanyak USD$4 billion kepada negara matahari terbit itu. Jikalau satu hari nanti kita mahu melihat samada negara Malaysia mampu mencapai apa yang dicapai ragbi di Jepun, kita perlukan perubahan.

Negara kita perlu konsisten menyokong dan menaruh kepercayaan pada sistem sedia ada di bawah pengendalian jurulatih Brad Mika. Lihat sahaja di negara  Jepun, jika kita juga seperti mereka tidak mustahil kita juga akan berjaya menjadi kuasa besar ragbi di Asia, jika tidak di dunia.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: