Fiji Bukti Kemampuan Benam Maori All Blacks

Pertembungan epic di antara Fiji dan Maori All Blacks pada 13 Julai lalu menyaksikan satu sejarah baru tercipta di Suva. Penantian selama 62 tahun skuad Fiji berakhir apabila berjaya mengenepikan cabaran Maori All Blacks 27-10 di Stadium ANZ, Suva.

Pada perlawanan yang mendapat tumpuan peminat ragbi seluruh dunia itu menyaksikan skuad Fiji yang dibarisi pemain-pemain ragbi Piala Dunia 2019 (RWC 2019) tidak menunggu lama apabila mendahului Maori All Blacks 12-0 di separuh masa pertama.

Dua try Fiji disumbang oleh fullback Alivereti Veitokani pada minit ke-22 dan No.8 Viliame Mata di minit ke-33 pada aksi separuh masa pertama. Pertembungan kali ini juga menyaksikan Oterer Black (Maori) dihantar ke sin bin apabila membuat high tackle kepada Semi Kunatani.

Melalui tendangan penalti yang disempurnakan oleh Ben Volavola di awal separuh masa kedua menjadikan Fiji mendahului 15-0. Selepas 2 minit berselang, Stadium ANZ bergema lagi apabila Waisea Nayacelevu membuat satu try setelah membolosi pertahanan Maori.

Fiji terus mendominasi perlawanan dengan mendahului 22-0, namun Maori All Blacks memberikan tentangan dan hanya mampu merobek kubu Fiji dengan dua try sahaja melalui Sean Wainui.

Dengan larian pantas serta rempuhan demi rempuhan yang dipersembahkan oleh skuad Fiji berjaya melemahkan pertahanan Maori apabila sekali lagi Waisea muncul sebagai wira dengan satu lagi try menjadikan keputusan penuh 27-10 dicatatkan di Suva.

Kekalahan Maori All Blacks memberi tamparan kepada pengurusan pasukan itu meskipun dibarisi seramai 6 orang pemain daripada skuad All Blacks. Pertemuan kedua bakal berlangsung pada 20 Julai ini di Rotorua, New Zealand.

Match highlight: Maori All Blacks Vs Fiji (Suva)

sumber: All Blacks Youtube channel

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: