Lavender Rugby Club Lahir Pemain Berbakat Besar

Bagi peminat ragbi tempatan khususnya yang terlibat dalam pembangunan sukan peringkat akar umbi, pasti mengenali nama Lavender Rugby Club (LRC). Kelab ragbi yang semakin dikenali di peringkat kebangsaan mempunyai kekuatan dan keunikannya tersendiri.

Ragbi.my menyingkap penubuhan dan pencapaian gemilang kelab ini khas buat peminat setia ragbi tanahair.

Ditubuhkan pada tahun 2012, Lavender Rugby Club merupakan pasukan ragbi Sekolah Kebangsaan Lavender Heights di Seremban. Pengasas pasukan terdiri daripada guru-guru SK Lavender Heights iaitu Cikgu Hairul Azizi, Cikgu Nor Fazilah, Cikgu Shuhaida, Cikgu Saadon dan Cikgu Ahmad Hani. Manakala jurulatih yang bertanggungjawab melatih pemain-pemain cilik ini adalah Coach Muhamad Jefari.

Pada tahun 2017, LRC didaftarkan secara rasmi dengan Pesuruhjaya Sukan Negara dan kali ini dua orang jurulatih luar secara sukarela (Coach Mohd Sharizan Robuan & Coach Shaiful Bahri Saidin) melatih pasukan ragbi ini bagi menghadapi kejohanan-kejohanan di Negeri Sembilan mahupun jemputan luar.

Faktor sokongan ibu-bapa melalui Kumpulan Sarana ibu Bapa (KSIB) Ragbi merupakan kunci kepada kejayaan kelab ini di persada ragbi tempatan. Kerjasama serta sokongan yang ditunjukkan oleh ibu bapa dan pihak sekolah menjadi teras kepada kecemerlangan LRC pada hari ini.

Melalui penganjuran latihan serta penyertaan di kejohanan-kejohanan tempatan, LRC mula membina keupayaan dan peningkatan prestasi pemain berbakat. Kelab ini mempunyai pemain bawah 8 tahun (B8), bawah 10 tahun (B10), bawah 11 tahun (B11) serta pasukan elit bawah 12 tahun.

Manakala pasukan perempuan turut dibentuk dengan kategori bawah 10 tahun dan bawah 12 tahun. Pada ketika ini LRC dibimbing oleh Coach Amirul Husni selaku jurulatih sekolah.

Jika dilihat pada awal penyertaan LRC di dalam sukan Majlis Sukan Sekolah Negeri Sembilan (MSSNS) pada tahun 2015, tiada kejayaan dicatatkan pada tahun tersebut, namun bermula 2016, LRC mencatat nama selaku naib johan kategori Cup dan pencapaian pada tahun-tahun berikutnya lebih memberangsangkan.

Berikutan penganjuran Program Pembangunan Ragbi Kebangsaan (NDRP) pada tahun 2018, LRC tidak menoleh ke belakang lagi apabila merangkul pencapaian gemilang dalam setiap kejohanan yang disertai.

Johan kategori Cup di kejohanan Ragbi Rimau B12 MSSNS, johan kategori Bowl di kejohanan NDRP Rugby Carnival anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), johan Cup di Putrajaya Mini Rugby Junior Club 2018, johan Cup kejohanan Ragbi Pulau Indah 7’s.

Manakala pasukan perempuan bawah 12 tahun turut mencipta kejayaan bergelar johan Cup di kejohanan Jemputan Meru 7’s 2018.

Tahun 2019 merupakan tahun cemerlang buat LRC apabila mengungguli kejohanan-kejohanan berprestij di dalam negara. Pada kejohanan Rangers 7’s, LRC membolot johan Cup kategori B10 dan B12 manakala pasukan perempuan B12 di tempat ketiga kategori Cup. Pasukan B8 pula tampil gah selaku johan Cup di Bilal – GIR 7’s Rugby Tournament di Batu Pahat Johor.

Manakala di Kota Bharu pula, pasukan B12 lelaki muncul juara dalam kejohanan Claw Open Kelantan. Terbaru, pasukan B11 lelaki LRC muncul sebagai johan Cup di Carisbrook SMSS 7’s bulan Jun lepas.

Selain mempunyai barisan pengurusan pasukan serta kejurulatihan yang mantap, kejayaan LRC juga hasil bimbingan daripada Shaiful Bahri Saidin selaku Penasihat kelab tersebut yang mempunyai pengalaman dalam sukan ragbi selama 42 tahun semenjak tahun  1977. Idea serta hala tuju yang dibawakan beliau telah banyak menyumbang kepada kejayaan LRC di peringkat daerah, negeri serta kebangsaan.

https://www.facebook.com/lavenderrugbyclub

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: