Bunga Raya Berkembang Mekar di Jakarta

Ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha pada 11 Ogos lepas, pasukan ragbi 7 sebelah negara sedang berjuang habis-habisan untuk merangkul Trofi Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Asia.

Credit TV3

Malaysia bermula cemerlang di Pool D apabila menumpaskan Laos pada perlawanan pertama dengan mata 36-0 sebelum sekali lagi membenam Laos dengan mata 56-0.

Kedua-dua kemenangan tersebut melayakkan skuad Bunga Raya melangkah ke peringkat separuh akhir untuk bertemu dengan Mongolia, yang pertama kali menyertai kejohanan ini.

Terdahulu, Mongolia menewaskan pasukan tuan rumah Indonesia dengan mata 19-12 seterusnya bertemu Malaysia di separuh akhir cup.

Dengan pengalaman dan kemahiran dimiliki skuad negara, Malaysia tidak mengambil masa yang lama untuk memadamkan kemaraan Mongolia dan apabila wisel penamat ditiup, Malaysia layak ke peringkat akhir dengan mata 26-0.

Credit Asia Rugby Twitter Channel

Saingan di separuh akhir juga menyaksikan pertembungan di antara Singapura dan Thailand yang mempamerkan mutu permainan menarik.

Singapura kemudiannya layak ke peringkat akhir selepas mengenepikan Thailand dengan 14-12.

Di pentas perlawanan akhir, pertemuan Malaysia dan Singapura bagaikan ulangan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang menyaksikan pertarungan kedua-dua  pasukan untuk bergelar juara.

Singapura mengukuhkan kedudukan di perlawanan akhir apabila membuat try seawal minit pertama melalui Nathan Wong.

Kedudukan Singapura yang mendahului 7-0 kemudiannya diekori rapat oleh Malaysia apabila Amalul Hazim Nasarrudin berjaya meloloskan diri untuk mencipta try pertama skuad negara.

Namun sebelum tamat saingan separuh masa pertama, Singapura berjaya menjarakkan diri dengan satu lagi try dan conversion menjadikan mata 14-5.

Skuad Bunga Raya kemudiannya bangkit dengan penuh semangat apabila asakan ke kubu lawan di permulaan minit pertama separuh masa kedua membuahkan hasil.

Credit Asia Rugby Live Youtube Channel

Muhammad Zulhisham Rasli menambah jumlah mata bagi merapatkan jurang perbezaan dengan Singapura.

Debaran terus terasa di setiap saat pada perlawanan akhir tersebut, dan sekali lagi Amalul Hazim muncul wira apabila berjaya memperdaya pertahanan Singapura dan membuat try bagi memastikan trofi adalah milik Malaysia.

Keputusan perlawanan akhir berkesudahan dengan 17-14. Skuad negara yang dikendalikan oleh Mohd Saizul Hafifi kini mempunyai tugas berat untuk mempertahankan emas yang dimenangi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada temasya Sukan SEA tahun ini yang akan berlangsung di Filipina nanti.

Selaku johan trofi, skuad Bunga Raya kini kembali dalam saingan Siri  7’s Asia.

Credit Asia Rugby Live Youtube Channel

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: