SKUAD THE BLUES PAMER AKSI CEMERLANG DI MAKSAK 7’S 2019

Pasukan ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempamerkan aksi cemerlang di Kejohanan Ragbi 7 sebelah MAKSAK 2019 (MAKSAK 7’S) yang berlangsung pada 23 hingga 24 Ogos lalu di Stadium Educity Johor Bahru.

Dalam saingan peringkat kumpulan, skuad The Blues membuka tirai dengan mengenepikan cabaran Negeri Sembilan 28-0.

Skuad yang dibimbing oleh Koperal Shahril Azri Abdul Raup selaku Jurulatih kemudiannya menewaskan Perlis dengan kutipan mata 40-5 pada perlawanan kedua peringkat kumpulan.

Sang Saka Biru kemudiannya tidak menoleh ke belakang apabila Kelantan menjadi pasukan seterusnya gagal menghalang kemaraan pasukan itu.

PDRM menguasai perlawanan dengan mata 45-0 mengatasi Kelantan seterusnya layak ke suku akhir kategori Cup.

Di peringkat suku akhir Cup, The Blues dipertemukan dengan skuad Bujang Senang dari Sarawak dengan mutu permainan seimbang, namun pengalaman dan kemahiran yang dimiliki oleh PDRM ternyata menjadi kelebihan buat pasukan itu.

Perlawanan menentang Sarawak berkesudahan dengan 36-7 melayakkan PDRM mara ke separuh akhir bertemu pasukan pilihan, Selangor.

Pentas separuh akhir nyata hangat dengan kehadiran penyokong serta peminat ragbi tanahair. Seawal minit pertama permainan, kedua-dua pasukan saling mengasak ke kubu lawan dengan larian-larian pantas serta corak serangan taktikal yang menarik perhatian penonton.

Perlawanan sengit separuh akhir menyaksikan Selangor pulang hampa apabila The Blues sekali lagi meraih kemenangan sekaligus meranapkan impian skuad Merah Kuning ke pentas akhir Cup.

Keputusan 17-12 ke atas Selangor membuka peluang PDRM untuk merebut kejuaraan kategori Cup.

Di peringkat separuh akhir juga menyaksikan pertembungan di antara Kedah bertemu ATM dengan keputusan perlawanan dimenangi oleh Kedah dengan mata 26-12.

Dengan kemenangan tersebut, PDRM bertemu Kedah pada final Cup yang menjadi tumpuan utama Kejohanan Ragbi 7’S MAKSAK tahun ini.

Perlawanan akhir menentang skuad Jelapang Padi tampak seimbang dari permulaan permainan. Beberapa cubaan pasukan Kedah berjaya dipatahkan namun saingan berterusan dengan kedua-dua pasukan saling mempelbagaikan corak serangan ke kubu lawan.

Meskipun berhempas pulas menyerap serangan Kedah, PDRM mampu mempertahankan jumlah mata dengan merapatkan jurang perbezaan dalam perlawanan itu.

Apabila wisel penamat ditiup, Kedah menang tipis ke atas PDRM dengan mata 12-10. Keputusan tersebut menjadikan The Blues sebagai Naib Johan untuk kejohanan edisi 2019.

Skuad yang dipimpin oleh DSP Muhammad Najib Hamzah selaku Pengurus pasukan membawa pulang RM1,000, pingat serta plaque iringan.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: