Pasukan ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencipta sejarah tersendiri apabila menjuarai Kejohanan Ragbi 10 Sebelah anjuran Kuala Muda Rugby Club (KMRC) pada 1 September baru-baru ini.

Kejohanan selama dua hari bermula pada 31 Ogos itu berlangsung di padang Institut Perguruan Sultan Abdul Hamid, Sungai Petani Kedah.

Menurut Pengurus Pasukan The Blues, DSP Muhammad Najib Hamzah dan Inspektor Zulhelmy Abd Halim yang dihubungi Ragbi.my berkata, kejayaan pasukannya adalah hasil komitmen yang ditunjukkan oleh anak-anak buah mereka yang begitu fokus pada kejohanan ini.

“Sekaligus, kejayaan PDRM pada KMRC 10’s adalah sebagai pengubat kekecewaan selaku naib johan kategori Cup di MAKSAK 7’s sebelum ini,” jelas DSP Muhammad Najib.

Di peringkat kumpulan, The Blues  bermula garang dengan menewaskan Northern Wanderers 38-0.

Keampuhan pasukan The Blues nyata tidak dapat ditandingi apabila PTSS Mongoose menjadi mangsa belasahan seterusnya dengan mata 47-0.

Ketua pasukan Sang Saka Biru, Nik Muhamad Salahuddin terus mengemudi pasukannya untuk menamatkan saingan hari pertama KMRC 10’s dengan membenam The Greens 28-0.

Bersambung hari kedua kejohanan, The Blues melangkah ke peringkat suku akhir Cup dan dipertemukan dengan pasukan CLRC.

Berbekalkan bimbingan dan formasi taktikal oleh jurulatih Koperal Khairil Zairani Zainal dan Koperal  Shahril Azri, The Blues terus mencipta kemenangan dengan menewaskan CLRC 28-0.

Di peringkat separuh akhir Cup, Jitra Old Boys (JOB) tidak memberi laluan mudah kepada pasukan The Blues.

Asakan serta larian deras oleh kedua-dua pasukan menaikkan debaran penonton yang menyaksikan kejohanan tersebut dan ternyata pengalaman memberi kelebihan kepada The Blues apabila berjaya menewaskan JOB dengan mata 7-5.

Kemenangan tersebut melayakkan mereka melangkah ke peringkat akhir untuk bertemu dengan pasukan Kor JLJ Diraja (JLJ).

Aksi di pentas final menyaksikan kedua-dua pasukan beruniform berentap dengan misi utama memburu kejuaraan.

The Blues kekal dengan fokus utama mereka untuk mencipta kejutan namun JLJ tidak memberi sebarang ruang untuk mendapatkan try.

Namun kesungguhan dan semangat juang Sang Saka Biru tidak menghampakan, meskipun kedua-dua pasukan saling berbalas try, The Blues tetap mengungguli final Cup dengan mata 24-10 sekaligus bergelar juara KMRC 10’s untuk edisi 2019.

Bagi DSP Muhammad Najib, kejayaan tersebut adalah suntikan semangat kepada pasukannya untuk mengekalkan momentum kecemerlangan dan mengharumkan nama PDRM dalam arena ragbi negara.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: