Kejohanan Ragbi Liga Putrajaya yang berakhir pada 24 Ogos lalu menyaksikan ASAS Rugby Club (ASAS RC) muncul sebagai juara bertahan untuk edisi tahun 2019 liga tersebut.

Bertempat di padang ragbi Alamanda, mereka dipertemukan dengan Scorpion Rebels pada perlawanan akhir Cup yang menyaksikan keputusan berpihak kepada ASAS RC 39-22.

Ragbi.my menghubungi Pengurus Pasukan ASAS RC, Mohd Khairul Fahmi Abd. Hamid untuk mendapat penjelasan terperinci mengenai perjalanan pasukannya dalam menghadapi saingan Liga Ragbi Putrajaya 2019.

Menurut beliau, kejayaan ASAS RC dalam mempertahankan kejuaraan liga tersebut adalah hasil sokongan padu antara pihak persatuan alumni di samping kehadiran pemain-pemain berbakat dalam pasukan itu.

ASAS RC selaku juara Liga Ragbi Putrajaya 2019
(Sumber: Laman Facebook Ragbi Putrajaya)

Jelas Fahmi lagi, sokongan padu daripada Penaung ASAS RC, Mohd Zaki Shahran yang juga Presiden Persatuan Ragbi Putrajaya serta Dr. Ridzmy sebagai Presiden ASAS menaikkan semangat juang pemain-pemainnya untuk mengharumkan nama persatuan alumni di persada ragbi tempatan.

Fahmi yang menguruskan pasukan itu bersama Ismael Mat Safar turut mengakui, komitmen yang ditunjukkan oleh pemain ASAS RC sangat luar biasa serta semangat ‘brotherhood’ yang tidak pernah luntur adalah rahsia kejayaan mereka.

“ASAS RC menjalani latihan pada setiap hari Selasa, Rabu dan Jumaat di padang Sekolah Sains Alam Shah di Cheras sebagai persediaan menghadapi saingan liga serta kejohanan-kejohanan lain yang disertai,” jelas Fahmi lagi.

Sementara itu, ASAS RC turut mendapat sentuhan dua orang jurulatih yang juga bekas pemain negara, Mohd Farid Syazwan Abu Bakar atau lebih dikenali dengan Lomu selaku Ketua Jurulatih dan Jurulatih Backline, Mohamad Nazeer Mohamed Nesharah atau Black.

Kedua-dua jurulatih ini bertanggungjawab dalam membentuk pasukan ASAS yang mantap bagi tahun ini serta meningkatkan mutu permainan
dalam kejohanan kompetitif, katanya lagi.

Pada perlawanan akhir Liga Putrajaya itu menyaksikan kehadiran Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Datuk Shahrul Zaman Yahya serta lebih 300 penyokong kedua-dua pasukan dan peminat ragbi sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya (dua dari kiri) bersama Presiden Persatuan Ragbi Putrajaya, Mohd Zaki Shahran
(Sumber: Laman Facebook Ragbi Putrajaya)

Bagi kategori Plate peringkat final, Bangi Hunters menang tipis ke atas Kajang Rams dengan mata 25-24 manakala bagi kategori Bowl, MMU Ebees
tampak selesa mengenepikan cabaran Qubyx Lions 22-0.

Kejohanan Ragbi Liga Putrajaya 2019 disertai sebanyak 10 pasukan dan tahun ini merupakan penyertaan ASAS RC yang kesembilan.


This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: