X MORUC VETERAN PERTAHAN KEJUARAAN SAJOHA 10’s

Skuad X MORUC di SAJOHA 10’s 2019

Pasukan veteran X MORUC mencipta sejarah tersendiri apabila mengekalkan kejuaraan pada Karnival Ragbi SAJOHA 10’S bertempat di Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang.

Kejohanan selama dua hari bermula pada 13 dan 14 September itu menyaksikan beberapa kategori dipertandingkan antaranya bawah 11 tahun, 14 tahun dan 16 tahun, kelab serta veteran.

Menurut Presiden X MORUC, Datuk Hashim Isa yang dihubungi Ragbi.my berkata, kejayaan pasukan dalam mengekalkan kejuaraan adalah hasil usaha pemain yang sentiasa fokus dalam setiap perlawanan di kejohanan itu.

“Kejayaan X MORUC veteran pada SAJOHA 10’s sangat bermakna kerana ianya melibatkan kerjasama semua pihak dalam merealisasikan pencapaian ini,” jelasnya lagi.

Di peringkat kumpulan, X MORUC menang ke atas Kluang Rugby Club (5-0) namun  tewas kepada Storm Betel  (5-12).

Pasukan yang dipimpin oleh Zulkahar itu kemudian mara ke peringkat separuh akhir.

Pada perlawanan separuh akhir, keampuhan pasukan X MORUC nyata tidak dapat ditandingi apabila pasukan tuan rumah iaitu SAJOHA Legend menjadi mangsa seterusnya dengan jumlah mata 7-0.

Berbekalkan bimbingan dan formasi taktikal oleh jurulatih Es Lizan Nur Amir , X MORUC melangkah ke perlawanan akhir untuk bertemu sekali lagi Storm Betel dari Selangor.

Pentas final menyaksikan asakan bertali arus kedua-dua pasukan serta debaran penonton yang menyaksikan kejohanan tersebut dan ternyata pengalaman memberi kelebihan kepada X MORUC apabila berjaya menewaskan Storm Betel dengan mata 14-5.

Kemenangan tersebut menjadikan X MORUC selaku juara bertahan kategori Veteran untuk edisi 2019.

Selaku juara, X MORUC membawa pulang wang tunai RM300 dan pingat.

JUARA BERTAHAN – X MORUC PERTAHAN KEJUARAN DI SAJOHA 10’s

Bagi Datuk Hashim, kejayaan tersebut adalah suntikan semangat kepada X MORUC untuk mengekalkan momentum kecemerlangan dan mengharumkan nama negeri Melaka dalam arena ragbi negara.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: