STINGRAYS RC TEKAD BUKTIKAN KECEMERLANGAN RAGBI AKAR UMBI

Pasukan ragbi Sekolah Kebangsaan Bukit Rambai atau lebih dikenali sebagai Stingrays RC merupakan antara nama tidak asing lagi bagi peminat ragbi akar umbi di negeri Melaka.

Stingrays RC semai bakat sukan ragbi akar umbi

Ragbi.my berpeluang menemuramah Ketua Jurulatih Stingrays RC, Muhammad Sahizan Samion untuk mengetahui perkembangan serta perancangan pasukan tersebut dalam melahirkan bakat-bakat ragbi negara.

Menurut Sahizan, Stingrays ditubuhkan pada tahun 2015 dengan sokongan daripada pihak sekolah serta ibu bapa yang mahukan pembentukan peribadi cemerlang anak-anak melalui kegiatan sukan.

Meskipun berdepan dengan persepsi negatif sesetengah ibu bapa yang menganggap sukan ragbi ini ganas, namun ianya tidak menghalang Sahizan untuk meneruskan pembangunan sukan yang dicintainya itu.

Berkat sokongan Guru Besar SK Bukit Rambai, Puan Siah Kechut bersama pengurusan sekolah, Stingrays mula menarik minat murid-murid yang selama ini didedahkan dengan sukan-sukan seperti bola sepak, bola jaring, bola tampar dan sebagainya.

Sokongan padu pihak sekolah kunci kejayaan Stingrays

Melalui pendedahan dan latihan berterusan, Stingrays mula menyertai pertandingan kompetitif yang dianjurkan sama ada di peringkat negeri mahupun di kejohanan-kejohanan terbuka di luar Melaka.

Bermula dari situ, Sahizan meneruskan usaha beliau membimbing murid-muridnya bersama beberapa orang guru lain selaku jurulatih antaranya cikgu Azizan Abdullah, cikgu Arifin Amir, cikgu Aminah Jaffar, cikgu Nur Zaleha Mahadi dan cikgu Nurulhuda Mohd Sani.

Menurut Sahizan lagi, kejayaan di awal penubuhan Stingrays pada tahun 2015 sudah mula menunjukkan petanda bahawa pasukan bimbingan beliau serta rakan-rakan sejawatnya mampu bergerak lebih jauh lagi.

Pasukan lelaki bawah 12 tahun Stingrays mencipta sejarah di kejohanan MSSM Melaka pada tahun 2015 dengan meraih johan kategori Bowl serta beberapa pencapaian cemerlang lagi dalam penyertaan pada tahun tersebut.

Seterusnya pada tahun 2016, Stingrays menambah koleksi kejayaan di KL Highlander Games di Bukit Kiara selaku juara kategori Plate bawah 8 tahun campuran.

Tahun yang sama juga menyaksikan kejayaan mereka di Kejohanan Ragbi Pembangunan MSSM Melaka selaku johan Plate lelaki bawah 9 tahun.

Stingrays meneruskan tradisi kecemerlangan mereka kali ini dengan penyertaan pasukan perempuan ke beberapa kejohanan tempatan.

Pada tahun 2017, pasukan perempuan Stingrays mula mencipta kejayaan dengan menempatkan diri dalam kedudukan teratas di kejohanan yang disertai.

Pasukan perempuan Stingrays kini meningkat naik dalam kejohanan yang disertai

Hasil pendedahan berterusan dalam kejohanan ragbi tanahair, pasukan perempuan Stingrays berjaya merangkul johan kategori Bowl di Kejohanan Antarabangsa Bukit Beruang 2017.

Manakala pasukan lelaki juga tidak ketinggalan menempa nama di KL Tigers International Rugby 10’s selaku johan kategori Plate bawah 11 tahun lelaki (Divisyen 2) serta johan kategori Cup (bawah 9 tahun campuran) di Kejohanan Ragbi Putrajaya 2017.

Kematangan pasukan Stingrays jelas ditonjolkan apabila pada tahun 2018, kejayaan demi kejayaan mula dilakar oleh pemain-pemain bawah 11, 12 dan 13 tahun untuk kedua-dua kategori lelaki dan perempuan.

Antara yang menjadi tumpuan ialah johan kategori Bowl bawah 13 tahun perempuan di Kejohanan Ragbi NDRP – Lavender 7’s KGV dan naib johan kategori Plate bawah 12 tahun lelaki di KL Tigers International 10’s.

Stingrays RC terus mengorak langkah melahirkan bakat-bakat baru ragbi tanahair

Jelas Sahizan lagi, kini pasukan yang dibentuk sama ada lelaki dan perempuan telah mendapat pengalaman dan pendedahan secukupnya melalui penyertaan dalam pelbagai kejohanan.

Tambah beliau, pada tahun ini, pasukan perempuan bawah 12 tahun Stingrays telah berjaya meraih johan kategori Shield di KL Tigers International Rugby 10’s manakala pasukan lelaki bawah 12 tahun di tempat keempat kategori Shield di MSSM Melaka.

Begitupun, Sahizan dan barisan jurulatih Stingrays tetap optimis bahawa pasukan mereka bakal melahirkan pemain-pemain ragbi berpotensi tinggi untuk menyarung jersi bunga raya pada masa akan datang.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Guru Besar SK Bukit Rambai serta pihak pengurusan sekolah serta sokongan ibu bapa dan penaja-penaja yang merealisasikan hasrat Stingrays untuk merasai pengalaman bertanding di peringkat yang lebih tinggi.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: