TERENGGANU GENGGAM TROFI JUARA 7’s KEBANGSAAN

Skuad ragbi 7 sebelah Terengganu membuktikan kehebatan mereka apabila muncul juara di Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan (National 7’s) yang berakhir pada 15 September lepas.

Pada perlawanan akhir tersebut, Terengganu mengatasi Kelantan dengan mata 24-5 sekaligus bergelar juara National 7’s edisi 2019. Kemenangan tersebut menafikan hasrat Kelantan yang ingin merangkul kejuaraan kali kelapan buat mereka.

Sumber: Buletin Utama TV3

Padang Ipoh menjadi medan pertembungan final di antara kedua-dua negeri yang diibaratkan seperti adik beradik iaitu Terengganu dan Kelantan.

Aksi bertenaga dipamerkan oleh kedua-dua pasukan namun Terengganu terlebih dahulu berada di hadapan seawal minit pertama apabila Muhammad Haikal Ibrahim mencipta try pertama Terengganu.

Mata Terengganu terus bertambah melalui Muhammad Harith Iqral yang menyumbang dua try, manakala Muhammad Syafiy Md Said dengan satu try. Mata conversion pula disempurnakan oleh Mohd Fairuz Abdul Rahman.

Kelantan cuba bangkit untuk merapatkan jurang perbezaan mata, namun hanya mampu berpuashati dengan satu try oleh Muhammad Amir Ibrahim.

Kejohanan tersebut turut menyaksikan Johor muncul juara bagi kategori Terbuka Wanita apabila menewaskan Perak dengan mata 17-5.

(Sumber: Laman Facebook MRU)

Manakala Sabah muncul juara kategori Men Qualifier apabila menewaskan Perlis 14-0, Kelantan mengenepikan Negeri Sembilan untuk juara Lelaki Bawah 20 dan Wilayah Persekutuan Labuan pula juara Wanita Bawah 20 selepas menundukkan Sabah 15-10.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: