KARNIVAL RAGBI LABUAN 10’s CAPAI MATLAMAT PENGANJURAN

Karnival Ragbi 10 Sebelah Labuan (Labuan 10’s) pada 27 hingga 29 September lalu berjaya mencapai objektif penganjuran iaitu melahirkan bakat-bakat baru serta memartabatkan sukan itu ke peringkat lebih tinggi.

Demikian dinyatakan oleh Sukor Ashak, Pengarah Kejohanan Labuan 10’s yang juga Timbalan Presiden Persatuan Ragbi Labuan ketika dihubungi Ragbi.my baru-baru ini.

Labuan 10’s yang dianjurkan oleh Persatuan Ragbi Labuan mendapat penyertaan sangat menggalakkan daripada kelab-kelab ragbi dari Sabah, Sarawak, Brunei Darussalam serta dari semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, Labuan 10’s pada tahun ini menyaksikan peningkatan mutu permainan khususnya bagi kategori bawah 16 tahun yang dibarisi pemain-pemain berbakat besar dan berpotensi untuk diketengahkan.

Selain peningkatan mutu permainan, Labuan 10’s juga bertindak sebagai platform pendedahan kepada Pegawai-pegawai Teknikal serta pengadil dalam mengendalikan acara sukan bertaraf antarabangsa ini, jelasnya lagi.

“Sesuatu yang membanggakan apabila Labuan 10’s turut disenaraikan dalam kalendar pelancongan WP Labuan dan ini secara tidak langsung dapat mempromosikan Labuan sebagai salah satu pusat tarikan pelancong khususnya dalam sektor Sports Tourism, ” kata Sukor.

Karnival ragbi selama dua hari itu menyediakan kategori bawah 16 tahun lelaki dan perempuan, terbuka lelaki dan wanita serta veteran.

Bagi kategori lelaki bawah 16 tahun lelaki, pasukan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ibrahim (SSTMI) Tsunami muncul selaku juara Cup selepas menewaskan pasukan KK Rugby Development.

SSTMI muncul juara kategori lelaki bawah 16 tahun
(Foto oleh Tigers Super Sports/Persatuan Ragbi Labuan)

Kategori bawah 16 tahun perempuan, pasukan Liger Cogra Warriors meraih juara Cup manakala Angel Junior selaku naib juara.

Bagi kategori terbuka lelaki, Eagles Rugby Club dengan aksi bertenaga mereka berjaya merangkul juara Cup selepas mengenepikan cabaran Sabah OSCA Warriors.

Eagles Rugby Club juara kategori terbuka lelaki
(Foto oleh Tigers Super Sports/Persatuan Ragbi Labuan)

Manakala kategori terbuka wanita pula menyaksikan Sabah Angel Warriors dinobatkan selaku juara Cup dan Labuan Wipers di tempat kedua.

Bagi kategori veteran pula, pasukan Tobarks beraksi cemerlang untuk meraih juara Cup dan KRFC Blackcats Legendz selaku naib juara.

Turut hadir menyaksikan perlawanan dan memberi sokongan di Labuan 10’s ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, YB Tuan Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Ahli Parlimen Labuan, YB Datuk Rozman Hj Isli, Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato Sri Amir Hussien, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman serta Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Selaku Pengarah Kejohanan Labuan 10’s, Sukor merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan rakan kolaborasi yang bertungkus lumus memastikan kejayaan penganjuran karnival itu.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: