Pasukan ragbi Sekolah Kebangsaan Bukit Rambai Melaka atau lebih dikenali dengan nama Stingrays RC berada di landasan tepat dalam usaha membentuk bakat baru di peringkat akar umbi.
Penyertaan pasukan tersebut dalam kejohanan-kejohanan ragbi bertaraf kebangsaan membuktikan bahawa pihak pengurusan sekolah bersama barisan kejurulatihan memandang serius pembentukan kemahiran dan kualiti permainan Stingrays RC.
Ragbi.my dalam satu temubual bersama Ketua Jurulatih Stingrays RC, Muhammad Sahizan Samion menjelaskan bahawa pasukan kendalian beliau sentiasa berusaha keras untuk menaikkan imej sekolah sebagai salah sebuah kuasa ragbi di negeri Melaka.
Menurut Sahizan, Stingrays RC baru sahaja selesai menyertai Bukit Beruang National 7’s dengan penyertaan pasukan lelaki dan perempuan dalam kategori Bawah 11 tahun (lelaki) dan Bawah 12 tahun (perempuan).
Jelasnya lagi, matlamat utama pihak pengurusan Stingrays RC adalah untuk memberi pendedahan kepada anak didiknya dalam membiasakan diri di kejohanan-kejohanan peringkat kebangsaan justeru membentuk sebuah pasukan yang mantap dan berkeyakinan tinggi.
“Pendedahan yang diterima oleh pemain-pemain Stingrays sangat berharga kerana mereka dapat beraksi bersama pasukan-pasukan dari seluruh negara,” kata Sahizam.
Pada kejohanan tersebut pasukan perempuan B12 Stingrays RC muncul juara kategori Plate manakala lelaki B11 meraih johan bersama bagi kategori Bowl.
Pihak Sekolah Kebangsaan Bukit Rambai turut meraikan kejayaan pasukan tersebut dalam satu majlis ringkas yang diadakan di sekolah berkenaan.
Dalam pada itu Sahizan juga mempelawa mana-mana syarikat korporat serta agensi swasta untuk menyumbang kepada dana pasukan ragbi Stingrays RC yang akan digunakan untuk membiayai keperluan pasukan tersebut.
Sumbangan boleh dibuat ke akaun PIBG SK Bukit Rambai (BSN: 0414041000043357) atau berhubung terus dengan Sahizan di talian 016-282 4657.
You must be logged in to post a comment Login
You must log in to post a comment.