POLIS BERSATU MENYERLAH DI KEJOHANAN RAGBI ANTARABANGSA COBRA 10’s

Pasukan ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikenali dengan nama Polis Bersatu mempamerkan aksi bertenaga di Kejohanan Ragbi Cobra 10’s di Kelana Jaya baru-baru ini.

Kejohanan ragbi bertaraf antarabangsa tersebut disertai oleh kelab-kelab ternama dari Australia, New Zealand, Afrika Selatan serta beberapa kelab Asia menyaksikan Polis Bersatu memberi tentangan sengit dalam setiap perlawanan.

Pasukan Polis Bersatu membuat ‘comeback’ di Kejohanan Ragbi Cobra 10’s

Ragbi.my berpeluang mendapatkan pandangan Pengurus Pasukan Polis Bersatu, Superintenden Muhammad Najib Hamzah mengenai pencapaian pasukannya di kejohanan tersebut.

Menurut Najib, Polis Bersatu diletakkan di dalam Kumpulan B bersama-sama dengan kelab Global Lions dari New Zealand, NNK Rugby dari Afrika Selatan dan Silverbacks dari Australia.

Pada perlawanan peringkat kumpulan, Polis Bersatu berjaya menewaskan Silverbacks (19-7) namun terpaksa akur kepada keputusan perlawanan iaitu tewas kepada Global Lions (14-5) dan NNK Rugby (21-14).

Polis Bersatu kemudiannya meneruskan kempen di hari kedua dengan pertemuan menentang pasukan tuan rumah COBRA di peringkat penyingkiran kategori Cup.

Pasukan COBRA ternyata lebih handal menyaksikan Polis Bersatu tewas 24-0.

Jelas Najib, pasukannya kemudian ke peringkat separuh akhir kategori Plate menyaksikan pertembungan semula Polis Bersatu dan Global Lions dari New Zealand.

Corak taktikal yang lebih mantap dipersembahkan menyaksikan kesemua pemain Polis Bersatu berjuang habis-habisan dan keputusan kali ini memihak kepada Sang Saka Biru dengan mata 12-7.

Kemenangan tersebut melayakkan Polis Bersatu ke perlawanan akhir kategori Plate dan dipertemukan dengan pasukan Vipers dari New Zealand.

Meskipun mendapat sokongan padu daripada peminat ragbi tanahair, keampuhan Vipers dalam mempertahankan kubu mereka sukar ditandingi.

Keputusan rasmi perlawanan 29-0 memihak kepada Vipers sekaligus muncul johan kategori Plate dan Polis Bersatu selaku naib johan.

Muhammad Najib yang juga Setiausaha Majlis Sukan PDRM melahirkan rasa gembira terhadap mutu permainan oleh anak-anak buahnya namun masih terdapat lagi ruang yang boleh diperbaiki di masa akan datang.

“Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengurusan Tertinggi PDRM atas segala sokongan dan galakan kepada pasukan Polis Bersatu dalam mengharungi kempen Cobra 10’s tahun ini,” kata Muhammad Najib.

Pujian juga harus ditujukan kepada semua pemain skuad Polis Bersatu yang telah mengembalikan kegemilangan pasukan itu yang pada satu ketika dahulu adalah antara pasukan digeruni di kejohanan berprestij itu.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: