KELANTAN, SABAH, JOHOR & TERENGGANU LAYAK KE SEPARUH AKHIR PIALA AGONG 2019

Selepas berakhirnya Ragbi Piala Dunia di Jepun baru-baru ini, tumpuan peminat ragbi tempatan beralih kepada Kejohanan Ragbi Piala Agong kali ke-37 yang kini memasuki peringkat separuh akhir.

Pada saingan suku akhir yang berlangsung pada 16 dan 17 November lalu di UPM Serdang menyaksikan pertembungan pasukan-pasukan terbaik divisyen masing-masing.

Kelantan ternyata lebih konsisten dalam aksi suku akhir. Serangan bertali arus ke kubu Kedah dan bijak menggunakan peluang menjadikan Kelantan menguasai permainan dan berjaya menjinakkan lawan dengan mata 50-10.

Perlawanan pertama pada hari Sabtu (16 Nov) menyaksikan Kedah bertemu Kelantan dalam misi untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

Credit to Malaysia Rugby Union FB Page

Pada sebelah petangnya, Sabah menghadapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah menunjukkan kemampuan selaku pendahulu Divisyen 2.

Corak permainan seimbang bagi kedua-dua pasukan namun keadaan cuaca yang tidak mengizinkan memaksa PDRM melupakan hasrat ke separuh akhir apabila pengadil memberhentikan permainan akibat cuaca buruk.

Sabah mendahului PDRM dengan mata 14-12 sekaligus menempah tempat ke separuh akhir.

Credit to Malaysia Rugby Union FB Page

Bersambung hari Ahad (17 Nov), Johor turun dengan hasrat membara untuk berdepan dengan juara 11 kali Piala Agong, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Permainan menarik dipersembahkan oleh kedua-dua pasukan yang saling membalas serangan namun keampuhan Johor tidak dapat ditandingi ATM dan di akhir babak perlawanan menyaksikan keputusan memihak kepada Johor dengan mata 28-14.

Credit to Johor Rugby Union FB Page

Manakala di perlawanan terakhir peringkat suku akhir tersebut, Kuala Lumpur terpaksa berputih mata apabila Terengganu lebih unggul dan mendominasi permainan seterusnya menempatkan diri di kelompok empat terbaik.

Terengganu mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mengenepikan saingan Kuala Lumpur dengan mata 42-17.

Credit to Malaysia Rugby Union FB Page

Pada hari Rabu (20 Nov) keempat-empat pasukan akan bertemu di peringkat separuh akhir dengan menyaksikan Kelantan bertemu Sabah pada jam 2.30 petang dan Johor menentang Terengganu pada jam 4.30 petang.

Kesemua perlawanan separuh akhir akan berlangsung di Padang A, UPM Serdang.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: