KANGAR 10’s TAWAR HADIAH KESELURUHAN RM15,000.00

Kejohanan Ragbi 10 Sebelah Kangar atau lebih dikenali dengan nama Kangar 10’s akan berlangsung pada 7 dan 8 Disember ini dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM15,000.00.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Ragbi Perlis, Erri Hardinata yang dihubungi Ragbi.MY berkata, Kangar 10’s akan berlangsung di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar dengan tiga kategori utama dipertandingkan.

Jelas beliau, kategori tersebut ialah Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita dan Veteran (37 tahun ke atas).

Poster Kejohanan Kangar 10’s

Bagi kategori Terbuka Lelaki, johan akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 manakala naib johan akan menerima RM2,000.

Manakala bagi Terbuka Wanita, wang tunai RM3,000 akan diraih oleh johan dan naib johan akan menerima RM1,000.

Sementara itu bagi kategori Veteran, johan akan membawa pulang RM3,000 dan naib johan menerima RM1,000.

Jelas Erri lagi, pihaknya telah menerima pengesahan penyertaan 15 pasukan bagi kategori Terbuka Lelaki, 6 pasukan Terbuka Wanita dan 9 pasukan Veteran.

Kangar 10;s dianjurkan oleh Persatuan Ragbi Perlis pada 7 dan 8 Disember 2019

Dalam pada itu beliau melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Perlis, Kementerian Belia dan Sukan, Parlimen Kangar, Kesatuan Ragbi Malaysia serta penaja-penaja yang menjayakan Kangar 10’s.

“Kangar 10’s yang memasuki edisi kelima penganjurannya sejak tahun 2015 bakal menyajikan pelbagai aksi menarik daripada pasukan-pasukan yang mengambil bahagian,” kata Erri lagi.

“Selain memartabatkan sukan ragbi ke peringkat lebih tinggi, penganjuran Kangar 10’s juga adalah sebagai salah satu produk pelancongan negeri Perlis yang mampu menarik kadatangan pelancong tempatan bersempena cuti sekolah sewaktu kejohanan berlangsung,” jelas Erri di akhir perbualan.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: