SMART 40+ FUN 10s SEDIAKAN PLATFORM SANTAI UNTUK KATEGORI VETERAN

Kejohanan ragbi 10 sebelah, SMART 40+ Fun 10’s khusus untuk veteran (40 tahun ke atas) bakal membuka tirai tahun 2020 di Padang Ragbi UPM Serdang, Sabtu ini.

Acara yang dianjurkan oleh Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Old Boys Rugby Club itu menyaksikan penyertaan sebanyak 12 pasukan terdiri daripada kelab-kelab ragbi alumni sekolah bersaing dalam empat kumpulan.

Menurut wakil penganjur, Mohd Zahiruddin Mohd Basri yang dihubungi Ragbi.my berkata, penganjuran kejohanan tersebut mendapat sambutan dan sokongan padu daripada penggiat ragbi veteran yang mahukan satu platform khas untuk mereka bertanding dalam keadaan santai dan harmoni.

“Matlamat utama penganjuran SMART 40+ Fun 10’s adalah untuk mewujudkan suasana pertandingan ragbi yang harmoni, santai dan selamat kerana semua pemain berusia 40 tahun ke atas, tidak semuanya memiliki tahap kecergasan tinggi, namun bermain sebagai acara riadah sesama mereka,” jelas Zahiruddin.

Wakil penganjur, Mohd Zahiruddin Mohd Basri melahirkan harapan kejohanan SMART 40+ 10’s dapat berlangsung dalam suasana santai, harmoni dan mengeratkan hubungan persahabatan antara kelab-kelab ragbi alumni.

Justeru, pihaknya menganjurkan kejohanan khusus untuk kategori 40 tahun ke atas untuk memberi peluang kepada pemain mengembalikan pengalaman bermain ragbi sewaktu zaman sekolah dahulu.

Tambahnya lagi, kesemua pengurus pasukan telah dimaklumkan bahawa kejohanan ini bersifat santai dengan tujuan utamanya adalah untuk mengeratkan hubungan persahabatan antara pemain dan kelab alumni, serta menolak sekeras-kerasnya sebarang perlakuan tidak bermoral seperti pergaduhan dan mendatangkan kecederaan dengan sengaja.

“Harapan kami semua pasukan yang bertanding dapat bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi, sentiasa mengamalkan teknik permainan selamat dan paling penting mendapat kepuasan beraksi dalam suasana santai dan ceria,” ujar Zahiruddin lagi.

Dalam pada itu, SMART Old Boys Rugby Club bercadang menganjurkan kejohanan seumpama ini sebanyak dua kali setahun sekiranya mendapat sambutan daripada pemain veteran serta mencapai objektif penganjuran.

Kejohanan edisi kali ini disertai oleh SDAR, SAJOHA, EXSAS, KRAS, ASTA, ZON UTARA, MCOBA, SMS Old Boys, TIOSA, VI Legends, OPA serta pasukan tuan rumah SMART.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: