IMPIAN STADIUM RAGBI NEGARA AKHIRNYA TERCAPAI

Kenyataan Tender oleh Kementerian Belia dan Sukan baru-baru ini mengenai projek pembinaan stadium ragbi negara mendapat reaksi positif oleh rakyat Malaysia khususnya penggiat dan peminat ragbi tanahair.

Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) melalui laman Facebook rasminya menyambut baik perkembangan tersebut dan menyatakan keazaman tinggi untuk memacu serta menjadikan ragbi sebagai sukan nombor satu negara.

New stadium, new journey. Harapan yang digalas oleh MRU untuk menjadikan sukan ragbi sebagai sukan nombor satu di Malaysia

Kompleks stadium ragbi tersebut bakal dibina di Precint 14 Putrajaya dengan keluasan 6.47 hektar dengan menelan belanja sebanyak RM17 juta seperti yang diperuntukkan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Pembinaan stadium itu juga melibatkan dua buah padang yang akan digunakan untuk kejohanan dan latihan di samping prasarana seperti lampu limpah, bilik persalinan serta lain-lain kemudahan kelas pertama.

Menteri Belia dan Sukan dalam satu posting di laman Facebook mengumumkan peruntukan RM17 juta untuk pembinaan stadium ragbi negara.
Sumber: Laman Facebook Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden MRU, Dato’ Shahrul Zaman Yahya dalam aspirasi tahun baru yang disiarkan di laman facebook kesatuan itu menyeru semua pihak untuk berganding bahu dan terus menyokong pembangunan ragbi khususnya di peringkat akar umbi melalui pelbagai program seperti NDRP (National Development Rugby Program) dan Get Into Rugby (GIR).

Menurutnya lagi, Akademi Ragbi Malaysia sedang dalam rangka untuk direalisasikan melalui kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi, kolej serta sekolah-sekolah.

Dato’ Shahrul juga menyambut baik tambahan peruntukan dana RM1 juta oleh KBS yang memfokuskan pembangunan ragbi wanita di negara ini.

MRU berharap dengan pembinaan stadium tersebut, ianya berfungsi sebagai platform untuk menyatukan peminat dan penggiat ragbi negara selaras dengan hasrat memartabatkan sukan ragbi ke peringkat paling tinggi.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: