Rentetan kejayaan Kelab Sukan Telekom Malaysia (TM) menganjurkan kejohanan ragbi empat penjuru antara syarikat-syarikat GLC tahun lepas, kelab berkenaan kembali dengan penganjuran acara ragbi untuk tahun ini.
Tampil dengan format kejohanan berbeza, TM One Touch Corporate Challenge akan berlangsung di Stadium Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya pada 18 Januari 2020.

Ragbi.my sempat menghubungi pengarah kejohanan, Mohd Zul Azree Painan untuk mendapatkan penjelasan terperinci mengenai acara tersebut.
Menurut Zul Azree, kejayaan menganjurkan kejohanan 4 GLC Malaysia pada tahun 2019 mendapat respon positif daripada pelbagai pihak.

Justeru, beliau bersama ahli jawatankuasa Kelab Sukan TM berganding bahu menganjurkan kejohanan ragbi sentuh melibatkan penyertaan syarikat gergasi negara iaitu MAS, Sime Darby, IJM dan TM sendiri.
“Kejohanan kali ini sangat unik kerana ragbi sentuh mengikut undang-undang Federation of International Touch (FIT) akan digunapakai sepanjang permainan dan ini bakal memberikan persembahan menarik kepada penonton nanti,” jelas Zul Azree.
Menurutnya lagi, selain pasukan daripada empat syarikat korporat berkenaan, kejohanan kali ini turut disertai oleh pasukan veteran kelab-kelab ragbi alumni sekolah.

Photo Credit : M Suhaimi Yonz
Pasukan veteran alumni yang telah mengesahkan penyertaan terdiri daripada SDAR, SMSS, STJ, SEMSAS, SEMSAH dan VI, jelas beliau.
Pemenang bagi setiap kategori akan membawa pulang hadiah berupa piala, pingat dan wang tunai.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran peminat-peminat ragbi khususnya ahli keluarga dan warga kerja syarikat yang mengambil bahagian serta kelab ragbi alumni untuk sama-sama menyaksikan dan memberi sokongan sepanjang kejohanan berlangsung.
You must be logged in to post a comment Login
You must log in to post a comment.