Menjelang Kejohanan Ragbi 10 Sebelah Politeknik Malaysia (Poly 10’s) pada 18 dan 19 Januari ini di Politeknik Merlimau, pasukan ragbi Universiti Teknikal Malaysia Melaka membuat persediaan rapi bagi menghadapi kejohanan itu.

Poster kejohanan Poly 10’s 2020

Ragbi.my sempat meninjau persediaan akhir pasukan tersebut di Kampus Induk Durian Tunggal, Melaka dan berpeluang menemuramah Pengurus pasukan, Razali Yaakob.

Menurut Razali, pasukan ragbi universiti itu yang lebih dikenali dengan nama Kroons membuat latihan intensif pada sebelah petang memandangkan kesemua pemainnya terlibat di dalam sesi akademik pada waktu pagi dan tengahari.

“Peperiksaan semester baru sahaja berakhir dan kini kami boleh memberi tumpuan sepenuhnya untuk menghadapi saingan di Poly 10’s,” jelas Razali.

Pemain-pemain Kroons giat menjalani latihan akhir menjelang Poly 10’s

Katanya lagi, Kroons dibarisi beberapa pemain yang pernah menyarung jersi NS Silverbacks di kejohanan COBRA 10’s, mewakili Selangor dan Melaka dalam Piala Agong serta National 7’s tahun lepas.

“Kami tidak meletakkan sasaran tinggi pada kejohanan ini, namun berharap mampu memperbaiki prestasi pasukan dan memulakan saingan di tahun baru dengan jayanya,” kata Razali lagi.

Kroons mempertaruhkan pengalaman dimiliki jurulatih, Mohd Afiz Ahmad untuk memimpin pasukan itu manakala ketua pasukan, Kamil Al Fitri bertanggungjawab memastikan segala perancangan taktikal diikuti oleh ahli pasukan yang lain.

Memetik laporan yang disiarkan oleh Berita Harian (BH) Online, sebanyak 53 pasukan akan berentap sepanjang dua hari kejohanan tersebut terdiri daripada pasukan dari Politeknik, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, pasukan daripada kategori wanita dan sekolah.

Kroons akan bersaing dengan Politeknik Merlimau, Kolej Poly-Tech MARA Kuantan dan UniKL MIIT di peringkat Kumpulan S.

Selain pasukan IPT tempatan, Poly 10’s turut menampilkan pasukan jemputan dari Universitas Negeri Jakarta dan Universitas Negeri Surabaya, Indonesia.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: