TM ‘A’, STJ PAMER AKSI CEMERLANG DI TM ONE TOUCH CORPORATE CHALLENGE 2020

Stadium Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya gamat dengan sorakan penyokong dan penonton yang menyaksikan kejohanan ragbi sentuh TM One Touch Corporate Challenge 2020, Sabtu lepas.

Kejohanan yang julung kali diadakan itu menyaksikan pertembungan pasukan-pasukan daripada syarikat korporat dan kelab alumni sekolah yang menggunakan segala kemahiran dan kepantasan untuk mengalahkan lawan masing-masing dan merangkul gelaran juara mengikut kategori dipertandingkan.

Ragbi.my menemubual secara eksklusif Pengarah Kejohanan, Zul Azree Painan untuk mendapatkan penjelasan daripada beliau mengenai kejayaan Kelab Sukan Telekom Malaysia (TM) dalam menganjurkan acara yang mendapat sambutan meluas dalam kalangan penggiat sukan ragbi sentuh.

Pengarah kejohanan, Zul Azree Painan sewaktu ditemubual media yang hadir membuat liputan di Stadium MMU, Sabtu lepas.

Menurutnya, TM One Touch Corporate Challenge kali ini disertai oleh MAS, IJM, Sime Darby dan TM bagi kategori korporat manakala SDAR, SMSS, STJ, SEMSAS, SEMSAH dan VI pula beraksi dalam kategori alumni sekolah.

“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan daripada pemain dan peminat sukan ragbi sentuh tempatan,” jelas Zul Azree.

Tambah beliau, rata-rata pemain yang ditemuinya berasa amat teruja dan berpuashati dengan mutu penganjuran kejohanan serta berpeluang mengenali dengan lebih mendalam sukan ragbi sentuh yang mempunyai peminatnya tersendiri.

Pada kejohanan tersebut, pasukan TM ‘A’ bergelar juara apabila mengenepikan cabaran IJM dengan mata 4-2 sekaligus membawa pulang piala dan wang tunai RM300.


JUARA… Pasukan TM ‘A’ selaku juara kejohanan ragbi sentuh TM One Touch Corporate Challenge 2020

Manakala MAS berpuashati di tangga ketiga selepas menewaskan  Sime Darby ‘A’ dengan mata 2-0.

Sementara itu, bagi kategori alumni sekolah, STJ menang tipis ke atas SMSAS 3-2 untuk mengesahkan kedudukan selaku juara dan membawa pulang piala dan wang tunai RM150.

Pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, SMSS membuktikan kemampuan apabila membenam VI dengan mata 2-1 sehingga wisel penamat ditiup pengadil.

” Aksi yang dipamerkan oleh semua pemain sangat menarik dan berdasarkan sambutan diterima, kami tidak menolak kemungkinan untuk menganjurkan kejohanan seumpama ini pada masa akan datang serta menambah kategori pertandingan.

Antara aksi menarik dipamerkan sewaktu kejohanan berlangsung.
Sumber: Penganjur TM One Touch Corporate Challenge

“Reaksi positif turut disuarakan oleh pihak media yang datang membuat liputan kerana kejohanan ragbi sentuh melibatkan syarikat korporat dan kelab amat jarang sekali dianjurkan, dan inisiatif oleh Kelab Sukan TM dan penaja TM One wajar diberi pujian,” jelas Zul Azree lagi.

Turut hadir memeriahkan serta menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang ialah Mohd Roslan Mohd Rashidi, Naib Presiden TM One, Mohd Farid Shah Mohd Basir, Ketua Pegawai Modal Insan TM dan Kamaludin Mohsin, Pengurus Besar TM MSC.

Berdiri enam dari kiri: Mohd Roslan Mohd Rashidi, Naib Presiden TM One, Mohd Farid Shah Mohd Basir, Ketua Pegawai Modal Insan TM dan Kamaludin Mohsin, Pengurus Besar TM MSC.

Zul Azree turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam memastikan kejayaan penganjuran kejohanan ragbi sentuh itu dan berharap acara tersebut sedikit sebanyak mampu mewarnai sukan ragbi negara.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: