UNIVERSITAS NEGERI JAKARTA UNGGULI POLY 10’s

Kejohanan Ragbi 10 Sebelah Politeknik Malaysia (Poly 10’s) yang berakhir Ahad lepas menyaksikan Universitas Negeri Jakarta (UNJ), Indonesia muncul selaku juara di temasya kejohanan anjuran Majlis Sukan Politeknik (MSP) di Politeknik Merlimau, Melaka.

UNJ yang bertemu dengan pasukan tuan rumah, Politeknik Merlimau (PMM) mempersembahkan mutu permainan seimbang dengan beberapa gerakan taktikal yang membuahkan hasil sekaligus meraih piala kejohanan bagi kategori IPT dengan mata 10-7.

Selaku johan Cup kategori IPT, UNJ membawa pulang piala dan hadiah wang tunai RM1,000.
Sumber: Laman Facebook Majlis Sukan Politeknik Malaysia

Terdahulu, UNJ menewaskan KPTM Bangi  pada peringkat suku akhir dengan mata 28-5 untuk mara ke peringkat separuh akhir bertemu KPM Ayer Molek.

Peringkat separuh akhir menyajikan aksi menarik kedua-dua pasukan namun KPM Ayer Molek gagal membolosi garisan try UNJ. Perlawanan berkesudahan 7-0 melayakkan UNJ ke final bertemu Politeknik Merlimau.

Manakala Politeknik Merlimau yang menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri menewaskan MMU dengan mata 22-7 di peringkat suku akhir. Bermain di peringkat separuh akhir, Politeknik Shah Alam menjadi mangsa kemaraan Politeknik Merlimau apabila dibelasah 22-0 seterusnya ke peringkat final bertemu UNJ.

Sementara itu, MMU berpuashati dengan meraih johan Plate setelah mengenepikan cabaran KPTM Bangi dengan mata 17-5.

Bagi kategori Politeknik, Politeknik Melaka muncul juara Cup selepas menewaskan Politeknik Johor  dengan mata 14-0, manakala Politeknik Pahang ‘B’ merangkul johan Plate selepas menewaskan Politeknik Negeri Sembilan.

Bagi kategori wanita, Poly Unicorn menafikan hasrat UNJ untuk mengekalkan kejuaraan Cup tahun lepas apabila menundukkan pasukan tersebut dengan mata 12-5.

Poli Unicorn menghampakan UNJ untuk muncul johan kategori wanita.
Sumber: Laman Facebook Majlis Sukan Politeknik Malaysia

Manakala final kategori Plate wanita pula menyaksikan UPSI menewaskan Universitas Negeri Surabaya (UNESA) dengan mata 12-0.

Turut hadir menyaksikan kejohanan ini Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, YB Datuk Shahrul Zaman Yahya yang mengambil kesempatan bertemu pemain serta pegawai perlawanan bertugas sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan ragbi tanahair.

Kehadiran Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahya memeriahkan lagi suasana kejohanan Poly 10’s.
Sumber: Laman Facebook Majlis Sukan Politeknik Malaysia.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Tuan Haji Rumzi Mamat, Yang Dipertua Majlis Sukan Politeknik.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: