Perkembangan sukan ragbi dalam negara menyaksikan semakin banyak pasukan wanita ditubuhkan dan bersaing dalam kejohanan kompetitif peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Terbaru, Pahang menubuhkan skuad ragbi wanita pertama negeri itu yang bakal mewarnai arena sukan tanahair.

Skuad perintis ragbi wanita Pahang

Ragbi.my berpeluang menemubual jurulatih skuad wanita Pahang, Mohd Khairul Bakhtiar Afindi yang menyertai Karnival NRDP 2020 baru-baru ini.

Menurut Khairul, skuad bawah 20 tahun (B20) wanita bimbingannya ditubuhkan pada bulan Oktober 2019 dengan tujuan utama untuk menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) kali ke-20 di Johor.

“Pasukan yang ditubuhkan ini mencipta sejarah tersendiri kerana inilah pasukan ragbi wanita pertama bagi negeri Pahang,” jelas Khairul.

Menurutnya lagi, penubuhan pasukan perintis tersebut mendapat sokongan penuh Majlis Sukan Pahang yang sentiasa membantu dan memberi khidmat nasihat kepada barisan kejurulatihan untuk mengenalpasti pemain-pemain berbakat.

Selain Khairul, skuad perintis itu turut dilatih oleh Rosli Rais dan Muhammad Amirul Mukmin Mohd Yusmiza manakala Mohd Rahimi Mohamed bertindak selaku pengurus pasukan dan Mohd Rasul Abdul Hamid sebagai penyelaras sukan dari Majlis Sukan Pahang.

“Skuad wanita B20 yang dibentuk terdiri daripada anak-anak jati Pahang yang masih lagi menuntut di sekolah menengah, kolej dan universiti serta berpengalaman luas dalam sukan ragbi,” kata Khairul.

“Pemain kami dibarisi oleh penuntut Kolej Vokasional sekitar Pahang, mahasiswa universiti awam iaitu UTHM, UM dan UPM, Politeknik, Kolej Poly-Tech MARA serta sekolah menengah sekitar negeri Pahang,” tambahnya lagi.

Pada penyertaan NRDP 2020, skuad wanita B20 Pahang didedahkan dengan kejohanan bertaraf kebangsaan untuk mendapatkan keserasian dan pengalaman bermakna buat pemain, kata Khairul lagi.

Penyertaan dalam NRDP memberi pengalaman kepada skuad Elephant Warriors

Antara pemain yang menjadi sandaran skuad “Elephant Warrior” ini ialah Nur Ain Nadia Nazar selaku kapten pasukan.

Beliau yang bermain di bahagian forward memiliki pengalaman bermain dalam pasukan elit Politeknik Malaysia, Poli Unicorn.

Manakala skuad itu turut diperkuatkan dengan seorang lagi atlet olahraga SMK Bukit Rangin, Nur Anees Fateha Kamaruzrizan yang diserapkan ke dalam pasukan wanita B20.

Khairul menambah, meskipun SUKMA 2020 merupakan kali pertama skuad B20 wanita Pahang beraksi, namun beliau optimis anak didiknya mampu memberi tentangan kepada pasukan-pasukan negeri lain yang lebih ‘senior’ daripada mereka.

Latihan pusat dijalankan bagi menghadapi beberapa kejohanan sebelum SUKMA XX Johor

“Mengikut perancangan, kami akan menyertai kejohanan Pra- SUKMA di Terengganu pada penghujung bulan Februari bagi menilai prestasi pemain dan seterusnya memperbaiki kelemahan yang dikenalpasti,” jelas Khairul di akhir perbualan.

Jurulatih pasukan wanita Pahang, Mohd Khairul optimis pasukannya mampu beri kejutan di SUKMA XX

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: