EDISI KEDUA PERLIS ROYAL 7’s JANJIKAN AKSI MENARIK

Kejohanan Ragbi Diraja Perlis Terbuka 7 Sepasukan bakal berlangsung pada 18 dan 19 April ini di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar Perlis.

Dalam satu kenyataan oleh Setiausaha Kehormat Persatuan Ragbi Perlis, Erry Hardinata Ahmad Khodzali yang dihubungi Ragbi.my berkata, kejohanan yang lebih dikenali dengan nama Perlis Royal 7’s itu memasuki edisi kedua penganjuran pada tahun ini.

Menurutnya lagi, Perlis Royal 7’s bakal menjadi medan ujian buat pasukan-pasukan B21 yang menyertai SUKMA XX di Johor bulan Julai nanti.

“Penganjuran kejohanan kali ini menampilkan kategori terbuka lelaki serta dua lagi kategori lelaki dan wanita bawah 21 tahun untuk persediaan Pra-SUKMA,” jelas Erry.

“Perlis Royal 7’s membuka penyertaan kepada pasukan B21 untuk memberi peluang kepada pasukan-pasukan negeri membuat persediaan rapi menjelang temasya SUKMA XX di samping mengetengahkan bakat-bakat baru dalam sukan ragbi,” katanya lagi.

Kejohanan edisi 2020 menyaksikan wang tunai keseluruhan berjumlah RM 15 ribu ditawarkan kepada pemenang bagi setiap kategori.

Johan bagi kategori terbuka lelaki akan membawa pulang RM empat ribu, piala pusingan dan pingat manakala naib johan akan menerima RM dua ribu berserta pingat.

Sementara bagi kategori lelaki dan wanita B21, johan setiap kategori meraih RM dua ribu, piala pusingan, piala iringan dan pingat, manakala naib johan meraih RM seribu dan pingat.

Edisi pertama Perlis Royal 7’s pada tahun 2019 telah dijuarai oleh ABI JOB RC dan Polis Bersatu selaku naib juara.

Kelibat penonton di Perlis Royal 7’s 2019

“Selain memartabatkan sukan ragbi, penganjuran Perlis Royal 7’s adalah selari dengan hasrat untuk mempromosikan produk pelancongan Perlis seperti tempat-tempat menarik, makanan tempatan serta mangga harumanis yang menjadi ikon negeri ini,” ujar Erry.

Justeru, beliau mengalu-alukan penyertaan pasukan berminat dengan menghubungi Pengarah Pertandingan, Mohd Hafiz Zainon di talian 013-444 7411 atau berhubung terus dengan Erry di talian 011-5133 1626.

Penyertaan Royal Perlis 7’s kini dibuka sehingga 13 Mac 2020 dengan yuran penyertaan berjumlah RM 500 sepasukan.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: