NORFARAHANA AZIZ BANGGA JADI INSPIRASI KAUM WANITA MALAYSIA BERMAIN RAGBI

Keputusan meninggalkan acara Silat Olahraga ternyata merupakan keputusan yang tepat bagi Norfarahana Aziz, kerana beliau kini boleh berbangga dengan kejayaannya menempa nama sebagai pemain ragbi kebangsaan.

Salah satu daripada 15 wanita yang ditampilkan World Rugby dalam siri ‘Try and Stop Us’ bagi menggalakkan penyertaan golongan wanita dalam sukan tersebut, Norfarahana merupakan wanita bertudung pertama mewakili negara.

Menceritakan perjalanan kisahnya di permulaan dahulu, antara soalan yang sering ditanya – “Tak susah ke main ragbi pakai tudung?”

Jawapan Norfarahana Aziz mudah – tidaklah sesukar mana.

Menggunakan headgear, beliau membuktikan bahawa fesyen bertudung tidak langsung menganggu pemain itu beraksi dalam sukan yang lasak ini.

Datang dari luar bandar, beliau memulakan karier ragbi bersama Cobra Venom sebelum beraksi untuk pasukan kebangsaan.

Menceritakan kisah beliau di permulaannya, beliau berkata “Saya terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga dan menyesuaikan diri dengan kehidupan di bandar.”

“Saya belajar untuk berdikari.”

“Kehidupan di bandar sangat berbeza, kerana di kampung kami tidak mengenali ragbi. Malah tidak wujud idea bahawa wanita boleh bermain ragbi di kampung saya.”

Menurut beliau, motivasi untuk terus menceburi sukan ragbi berpunca daripada sokongan tidak berbelah bahagi bapa beliau.

“Bapa saya berkata ‘kalau bukan sebab ragbi, kamu tidak dapat peluang yang kamu perolehi sekarang.”

“Bapa saya begitu bangga dengan kejayaan saya.”

Selepas bersama Cobra Venom, pada April 2016 beliau telah dipilih untuk bersama skuad kebangsaan beraksi di kejohanan South East Asia Sevens Championship di Singapura.

“Ketika menghadiri sesi latihan pertama, hanya saya sahaja yang bertudung.”

“Saya bertekad untuk kekalkan imej ini.”

Menyingkap kembali detik itu, beliau berkata bahawa zaman telah berubah.

“Saya berbangga kerana saya anggap bahawa saya memberi inspirasi kepada mereka. Barangkali melihat saya bermain mereka juga diberi keberanian untuk bermain ragbi.”

Namun ia tidak berakhir di situ, kerana menurut beliau sokongan daripada masyarakat penting untuk pembangunan sukan ragbi.

“Di Malaysia, ragbi bukan sukan yang popular.”

“Maka ianya menyukarkan kami lebih-lebih lagi dari sudur penajaan.”

“Cabaran yang seterusnya adalah tidak banyak pertandingan yang dianjurkan untuk wanita.”

“Untuk mendapatkan masa bermain, kami terpaksa ke negara luar untuk beraksi dan timba pengalaman.”

Sokongan buat pemain-pemain ragbi seharusnya bermula dengan sokongan padu dari ahli keluarga dan sahabat handai. Kehandalan Norfarahana datang dari sokongan tidak berbelah bahagi bapa beliau. Bayangkan jika setiap pemain di negara ini, walau pada apa pun peringkat umur didorongi sokongan ahli keluarga. Sudah pasti lebih ramai lagi atlet seperti Norfarahana akan ditempa untuk membawa kejayaan demi kejayaan buat lencana di dada.

Artikel ini memetik sumber dari laporan website Asia Rugby

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: