OLIMPIK TOKYO & SUKMA 2020 ALAMI NASIB SAMA

Perdana Menteri Jepun secara rasminya menyatakan Temasya Olimpik Tokyo 2020 kini ditunda ke tahun 2021 berikutan pandemik COVID-19

Baru-baru ini Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican telah memutuskan untuk menangguhkan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 yang dijadualkan berlangsung Julai ini.

Beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia secara sidang video untuk membincangkan mengenai penganjuran SUKMA Johor 2020 ekoran ancaman wabak COVID-19 yang melanda Malaysia kini.

Sidang video tersebut telah disertai oleh semua Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang terdiri dari 14 Exco / Menteri Belia & Sukan Negeri (termasuk Johor selaku tuan rumah), Ketua Setiausaha Kementerian Belia & Sukan, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara dan Sekretariat Sukan Malaysia Johor.

Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia dengan sebulat suara telah bersetuju untuk menangguhkan SUKMA Johor 2020 ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

SUKMA Johor 2020 turut ditunda ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian

Jelasnya lagi, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia telah membuat keputusan tersebut mengambilkira aspek yang paling utama iaitu keselamatan dan kesihatan atlet-atlet, jurulatih, pegawai dan semua yang terlibat dalam penganjuran temasya itu.

Mengenai perkembangan terkini Sukan Olimpik Tokyo 2020, Reezal mengalu alukan keputusan IOC dan Jepun selaku penganjur untuk menangguhkan Sukan Olimpik Tokyo ke tahun 2021 mengambilkira situasi semasa pandemik COVID19.

Mengulas lanjut, kementeriannya dan MOM akan bekerjasama rapat untuk meneliti implikasi-implikasi keputusan tersebut ke atas atlet-atlet dalam masa yang terdekat ini.

Penangguhan dua temasya sukan ini melibatkan acara ragbi 7 sebelah (7’s) yang dipertandingkan di Olimpik Tokyo dan SUKMA Johor. Acara ragbi Olimpik Tokyo dijadualkan pada 27 Julai hingga 1 Ogos.

Bagi peminat ragbi, kedua-dua pengumuman ini pastinya menimbulkan sedikit kekecewaan namun impak pandemik COVID-19 yang berlaku harus dipandang berat bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

Bagi rakyat Malaysia khususnya, pematuhan arahan Perintah Kawalan Pergerakan sangatlah diharapkan bagi membendung penularan virus pembunuh ini.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: