‘MISI BELUM SELESAI’ BUAT EDDIE JONES KEKAL BERSAMA ENGLAND

Di sebalik keresahan melanda dunia akibat pandemik Coronavirus, peminat ragbi dihidangkan dengan berita penyambungan kontrak Eddie Jones selaku Ketua Jurulatih England sehingga tahun 2023.

Berita tersebut diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif England Rugby, Bill Sweeny selepas Jones bersetuju dengan kontrak yang dilanjutkan untuk memimpin skuad itu sehingga Piala Dunia 2023 di Perancis.

Jones dilantik selaku Ketua Jurulatih pada akhir tahun 2015 telah menunjukkan kemampuan luar biasa beliau dalam membentuk pasukan England dengan rekod pencapaian terbaik.

Di bawah kendalian Jones, England telah muncul juara Six Nations Cup sebanyak dua kali, termasuk merangkul gelaran Grand Slam pada tahun 2016.

Tahun yang sama juga menyaksikan England beraksi cemerlang dengan kemenangan 3-0 dalam Test Series di Australia, serta rekod 18 perlawanan tanpa kalah (menyamai rekod All Blacks) serta terbaru ialah naib juara Piala Dunia 2019 di Jepun.

Dalam reaksi Jones kepada media, beliau menjelaskan bahawa misinya bersama pasukan England ‘masih belum selesai’, merujuk kepada hasratnya untuk membawa skuad tersebut muncul juara Piala Dunia.

“Kami berusaha menjadi sebuah pasukan yang akan sentiasa diingati. Kami telah bermain dengan baik sepanjang empat tahun lepas malah boleh menjadi lebih baik lagi untuk tiga tahun akan datang. Selepas empat tahun di sini, saya merasakan misi masih belum selesai,” jelas Jones.

Pada kempen Piala Dunia 2019, skuad bimbingan Jones muncul pendahulu Pool C untuk layak ke pusingan suku akhir bertemu pasukan negara kelahirannya, Australia.

England mengecewakan Australia 40-16 lalu mara ke separuh akhir bertemu All Blacks. Skuad England berada di kelas tersendiri apabila berjaya mengekang penguasaan New Zealand apabila berjaya menjarakkan mata 19-7 sekaligus ke pentas final menentang Springboks.

Hasrat England untuk memenangi Piala Dunia tidak kesampaian apabila Springboks lebih unggul menguasai perlawanan itu yang berkesudahan 12-32.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: