SANJUNGAN TINGGI BUAT FRONTLINERS ‘RUGGERS’

Semua sedia maklum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan hingga 28 April ini. Pelanjutan tersebut bermakna semua petugas barisan hadapan perlu menjalankan amanah dan tanggungjawab sehabis baik untuk mencapai objektif memerangi pandemik COVID-19.

Ragbi.my membawakan secara eksklusif temubual tiga individu penggiat sukan ragbi yang turut bertugas bersama ribuan petugas seluruh negara sebagai ‘frontliners’. Jom ikuti laporan disediakan oleh Bob Faizeli meninjau rutin harian wira-wira negara ini.

MOHD FAIRUZ ABDUL RAHMAN

Fairuz – Pemain kebangsaan yang tidak perlu diperkenalkan lagi

Merupakan pemain ragbi kebangsaan yang bertugas di Pejabat Kesihatan Kota Setar, Kedah. Kelincahan Fairuz di padang kini bertukar kepada tanggungjawab lebih besar dan penumpuan sepenuh masa.

Fairuz bersama pasukan petugas KKM sedang menjalankan pengesanan kontak COVID-19

Jelas Fairuz, tugasannya lebih bertumpu kepada siasatan kes-kes positif COVID-19 meliputi pengesanan kontak yang terdedah dan pergerakan pesakit sepanjang 2 minggu sebelum timbul tanda dan gejala, pemantauan saringan senarai kontak, pengeluaran arahan kuarantin, pemantauan harian pematuhan kuarantin bagi PUI dan PUS sehingga tamat, disinfeksi premis berkaitan dengan kes positif serta pengurusan jenazah bagi kes kematian COVID-19.

Fairuz turut menjalankan kerja-kerja disinfeksi di lokasi-lokasi disyaki penularan wabak

Tugasan beliau bermula seawal 8.00 pagi dan tamat menjelang 12.00 tengah malam jelasnya lagi.

Justeru, Fairuz berpesan kepada seluruh rakyat Malaysia agar mengambil serius terhadap arahan PKP yang dikeluarkan kerana kita sedang berlawan dengan musuh yang tidak nampak oleh mata kasar.

“Tindakan wajar dan waras oleh semua pihak, sangat membantu dalam usaha kerajaan untuk mengekang penularan pandemik ini”

Mohd Fairuz Abdul Rahman – Pemain ragbi kebangsaan

DR. RAHMAT HARUN

Dr. Rahmat merupakan Pakar Bedah Otak dan Saraf di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, Negeri Sembilan.

Kepakaran beliau diperlukan secara khusus untuk menjalankan pembedahan berisiko semasa COVID-19 membuatkan Dr. Rahmat dan pasukannya sentiasa bersedia pada bila-bila masa.

Sebagai salah seorang pemain ragbi SMS Old Boys, Dr. Rahmat menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar sama-sama memutuskan rangkaian jangkitan dengan mematuhi arahan PKP setiap masa.

Dr. Rahmat dengan pakaian sewaktu bertugas dan sewaktu menyarung jersi SMS Old Boys

“Kita harus berganding bahu untuk sama-sama memutuskan rangkaian jangkitan ini, kekal di rumah dan jauhi aktiviti yang tidak sepatutnya serta amalkan penjagaan kesihatan dan kebersihan diri”

Dr. Rahmat Harun – Pakar Bedah Otak dan Saraf HTJ – SMS Old Boys

INSP. MUHAMMAD HILMI ROSLI

Pemain ragbi The Blues/ Polis Bersatu ini kini diberi tanggungjawab besar untuk memastikan pematuhan PKP melalui sekatan jalanraya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bertugas di bawah panas matahari bukan masalah bagi beliau malah kata-kata semangat oleh seluruh rakyat Malaysia sentiasa menjadi motivasi buat dirinya untuk menggalas tugas berat ini.

Pematuhan PKP adalah fokus utama Hilmi pada ketika ini

Aksi di padang bersama rakan sepasukan bukanlah fokus utama pada ketika ini, sebaliknya ketenteraman awam dan pematuhan arahan pihak berkuasa adalah tumpuan utama dirinya dan anggota lain.

Nasihat beliau kepada orang awam, “Stay at home and let’s break the chain. We help each other to fight against COVID-19”

Inspektor Muhammad Hilmi Rosli – The Blues/ Polis Bersatu

Dari kami di Ragbi.my, kepada seluruh petugas ‘frontliners’, setinggi-tinggi penghargaan dan sanjungan kepada anda semua yang sanggup berkorban demi memastikan perjuangan menentang pandemik ini berjaya ke akhirnya.

Tabik hormat daripada kami kepada seluruh petugas ‘frontliners’ kerana andalah wira & wirawati negara!

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: