PKP: KEBAJIKAN ATLET RAGBI IPT DI TAHAP TERBAIK

Baru-baru ini kecoh di media sosial mengenai rungutan daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mengadu makanan yang disediakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kolej kediaman tidak memenuhi selera mereka.

Ragbi.my menyingkap realiti serta keadaan sebenar mahasiswa berikutan arahan kerajaan yang mahukan mereka terus kekal di IPT masing-masing.

Kami menghubungi atlet ragbi negara yang juga penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi atau lebih dikenali dengan Puteh.

Menurut Puteh, sepanjang PKP kebajikan pelajar termasuk atlet-atlet dijaga dengan sempurna dan diberi perhatian sepenuhnya oleh pihak pengurusan universiti.

“Pihak universiti sangat mengambil berat terhadap kebajikan semua pelajar di dalam kampus dan sentiasa memantau keadaan kami agar dapat meneruskan kehidupan dengan selesa,” jelas Puteh.

“Dari segi makanan, semuanya enak dan berkhasiat, malah ada kalanya kami mendapat makanan yang banyak hasil sumbangan pihak luar kepada universiti,” tambah Puteh.

Antara menu yang disediakan seperti nasi ayam, tom yam, kebab, kentang goreng serta pelbagai hidangan berbeza setiap hari.

Justeru, Puteh menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa makanan disediakan tidak mencapai tahap memuaskan.

Bercakap mengenai aktiviti hariannya, pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur itu berkata, waktu pagi akan dihabiskan dengan membaca buku, menonton filem kegemaran serta bermain permainan atas talian (online games).

Gambar terkini Puteh yang menghabiskan waktu terluang dengan bermain permainan atas talian (online games)

Namun, waktu petang dikhususkan dengan sesi workout untuk menjaga stamina dan kecergasan diri. Pelbagai aktiviti bersifat riadah secara maya juga dianjurkan oleh pihak universiti bagi mengisi masa lapang pelajar seperti E-Sports dan Home Workout Challenge.

Aktiviti workout pada setiap petang membantu mengekalkan kecergasan fizikal Puteh

Puteh yang juga pemain berpengalaman dalam skuad negara berharap agar rakyat Malaysia sentiasa patuh kepada PKP dan bersama-sama memerangi pandemik ini.

“Bagi peminat ragbi, kita sama-sama merindukan bola dan padang namun pada ketika ini apa yang boleh dilakukan ialah teruskan berdoa kepada Allah agar ujian segera berakhir. Belajar perkara baru, buat workout agar kekal cergas dan paling penting kekal di rumah,”

Puteh

Kami juga berkesempatan mendapatkan gambaran sebenar daripada atlet ragbi wanita IPT, Norfiffi Nazurah yang kini menuntut di UPM Kampus Bintulu Sarawak.

Pasukan ragbi wanita UPM Dolphins

Norfiffi atau lebih mesra dengan panggilan Fiy berkata, beliau dan rakan atlet ragbi yang lain kini berada dalam keadaan sihat dan selamat, mendapat perhatian sepenuhnya daripada pihak pengurusan kolej kediaman dan universiti.

Fiy mengulangkaji pelajaran secara online di kolej kediaman Sri Rajang

Fiy yang membarisi pasukan UPM Dolphins berkata, isu makanan tidak timbul sama sekali sepanjang PKP di kolej kediamannya.

“Setiap hari kami dibekalkan makanan secukupnya dan berkhasiat, tiada rungutan malah kami sangat bersyukur dan berterima kasih kepada universiti dan kerajaan yang sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan kami,” jelasnya.

Seperti Puteh, Fiy juga menolak dakwaan pihak tidak bertanggungjawab bahawa makanan dibekalkan tidak menepati standard.

“Setakat ini segalanya elok, kami dijaga dengan rapi dan boleh menjalani aktiviti pembelajaran atas talian dengan baik,”

Fiy

Bagi menjaga kecergasan fizikal, Fiy turut melakukan aktiviti workout di kolej kediamannya di samping mengulangkaji pelajaran secara online.

Seperti pelajar lain, perasaan rindu terhadap keluarga di Semenanjung memang tidak boleh disembunyikan, namun Fiy jelas dan faham keperluan untuk dirinya mematuhi PKP seperti kawan-kawan lain.

Pesanan Fiy kepada rakyat Malaysia, jaga keselamatan dan kesihatan diri, sentiasa amalkan social distancing, dan paling penting untuk mematuhi PKP.

“Insya Allah segalanya akan berakhir dan kita kembali bermain sukan dicintai ini,” jelasnya lagi.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: