FRONTLINERS ‘RUGGERS’ TERUSKAN PERJUANGAN HADAPI COVID-19

Laporan Ragbi.my baru-baru ini yang memaparkan ‘ruggers’ sebagai petugas barisan hadapan negara dalam memerangi pandemik COVID-19 mendapat perhatian pelbagai pihak.

Bagi komuniti ragbi di Malaysia, wira dan wirawati ini disanjung tinggi dan diberi penghormatan atas tanggungjawab berat yang dipikul di bahu mereka.

Kali ini Ragbi.my membawakan beberapa individu dari kalangan ribuan petugas ‘frontliners’ yang berjuang tanpa mengenal erti penat demi kesejahteraan rakyat Malaysia amnya.

SHARIF KHOLID OSMAN

Bertugas di Stesen Kuarantin COVID-19 Daerah Kuala Muda, Sharif bertanggungjawab menyediakan kemudahan logistik bagi orang awam yang menjalani kuarantin di pusat tersebut.

Beliau yang juga salah seorang pemain Penang Blues Veteran dan SMS Old Boys veteran menjelaskan, tugasannya memerlukan komitmen yang tinggi dan sentiasa bersedia setiap masa.

Sharif mengajak seluruh komuniti ragbi di Malaysia agar terus patuh kepada arahan pihak berkuasa dalam menangani COVID-19

“Seperti dalam sukan ragbi, semangat berpasukan dan setiakawan sangat dititikberatkan, begitu juga dengan kami yang bertugas di sini, sentiasa mengambil berat antara satu sama lain dan dalam masa yang sama memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua,” katanya.

Justeru, Sharif menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus kekal di rumah dan mematuhi PKP agar penyebaran pandemik itu dapat dikawal seterusnya dihindari.

“Terima kasih atas doa dan kata-kata perangsang kepada kami, meskipun tidak berada di padang, namun semangat dan ‘brotherhood’ tetap dirasai sepanjang masa”

Sharif

“Saya juga sangat merindui padang ragbi, kawan-kawan yang bermain dalam pasukan, namun ketentuan ini harus kita hadapi bersama. Semoga segala yang berlaku dapat kita harungi hingga ke akhir,” kata Sharif.

HAINUR SHALEHIN

Bertugas sebagai Juru X-Ray di Hospital Melaka, Hainur sememangnya terlibat secara langsung dalam proses saringan, rawatan dan pengendalian pesakit COVID-19.

Menurut Hainur, beliau dan pasukannya diletakkan dalam keadaan bersedia 24 jam untuk melaksanakan imbasan x-ray ke atas PUI dan pesakit positif di wad.

“Tugasan kami selaku petugas kesihatan sangat berhadapan dengan risiko setiap hari, hanya doa dan tawakal kepada Allah di samping mematuhi segala prosedur ditetapkan,” jelas Hainur.

Selain melakukan imbasan x-ray di wad, beliau dan pasukannya juga bertugas di bahagian saringan awal. Pendek kata, di mana sahaja khidmat x-ray diperlukan, maka pasukannya akan melaksanakan tugasan tersebut.

Hainur yang juga bekas pemain XMORUC kini menyumbangkan pengalamannya sebagai jurulatih pasukan ragbi Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC) serta Penolong Jurulatih skuad SUKMA Melaka.

Bertugas di barisan hadapan, Hainur mengharapkan pandemik ini berakhir dan kembali meneruskan minatnya dalam kejurulatihan ragbi

“Memang terasa sangat rindu untuk bermain ragbi, tapi apakan daya pada situasi getir seperti ini, semua pihak perlu patuh kepada arahan dikeluarkan. Bukan sahaja kita terjejas, malah seluruh dunia turut terkesan akibat pandemik ini”

Hainur

“Hanya satu perkataan yang saya boleh gambarkan mengenai COVID-19, iaitu SANGAT BAHAYA. Maka saya berpesan kepada semua khususnya komuniti ragbi, agar sentiasa berwaspada apabila melakukan urusan harian di luar, kekal di rumah jika tiada keperluan penting di luar, pastikan membasuh tangan setiap masa dan berdoalah agar pandemik ini berakhir,” ujar Hainur lagi.

LT. KOL. BERSEKUTU (PA) DR. RABIATUL ADAWIYAH HJ. NASIR

Kami bertuah apabila mendapat respon daripada salah seorang peminat sukan ragbi yang kini turut bertugas di barisan hadapan.

Dr. Rabiatul Adawiyah atau lebih mesra dengan panggilan Dr. Abby bertugas sebagai Person-in-Charge Stesen Kuarantin Hotel Dorsett, Subang.

Beliau yang berkhidmat di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia berkata, tugasannya memerlukan dirinya dan pasukan berada di Stesen Kuarantin selama lebih 12 jam sehari bagi memastikan urusan dan pengendalian orang awam yang dikuarantin berjalan lancar.

Dr. Abby selaku peminat setia pasukan ragbi tanahair dan All Blacks berkata, rakyat Malaysia harus bersatu hati dalam memerangi COVID-19 kerana tanpa kerjasama daripada semua pihak, pandemik ini sukar untuk dibendung.

Dr. Abby dan pasukannya bekerja keras memastikan Stesen Kuarantin beroperasi dengan lancar dan memberi perkhidmatan terbaik kepada semua.

“Saya sangat memohon kerjasama daripada semua agar mengamalkan social distancing, kerap membasuh tangan dengan sabun dan mematuhi PKP agar ujian ini segera berakhir,”

Beliau yang juga aktif dalam sukan marathon juga tidak ketinggalan menyatakan keinginan untuk kembali bersukan bersama keluarga dan rakan-rakan apabila semuanya berakhir nanti.

“Setiap hari saya berdoa supaya dipermudahkan urusan semua petugas barisan hadapan dan diberi kesembuhan kepada mereka yang sedang mengalami penyakit ini. Kita juga perlu mainkan peranan agar usaha menghapuskan COVID-19 berjaya dan kita kembali dengan kehidupan seperti biasa”

Dr. Abby

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: