“DISPLIN DIRI KUNCI UTAMA” – LEE NYUK FAH

Sebut sahaja nama Lee Nyuk Fah, pastinya peminat ragbi zaman 80-an hingga lewat tahun 2000 mengenali pemain itu.

Bermain di posisi prop, Nyuk Fah mencatat rekod selama 16 tahun menyarung jersi Malaysia bermula pada tahun 1982 hingga 1997.

Ragbi.my membawakan secara eksklusif siri temubual bersama legenda ragbi ini yang berkongsi pengalaman luas sebagai pemain dan jurulatih sepanjang kariernya bersama skuad bunga raya.

Menurut beliau, pegangan asas bagi dirinya sebagai seorang pemain ragbi ialah disiplin diri.

“Falsafah yang saya amalkan sejak dari awal hingga kini ialah disiplin diri yang ketat”

LEE NYUK FAH

Jelas beliau, disiplin diri adalah teras utama bagi seorang atlet yang ingin berjaya dan mencipta kecemerlangan.

“Berlatih, berlatih dan terus berlatih untuk memperbaiki kemahiran diri meskipun sewaktu off day dan off season,” katanya lagi.

“Tidur awal sebelum jam 10.00 malam, jangan tidur lewat untuk dapatkan rehat secukupnya. Badan perlu sihat dan cergas kerana kamu perlu sasarkan untuk menjadi pemain paling cergas dalam pasukan,” jelas Nyuk Fah.

Tanpa disiplin diri yang tinggi, mustahil bagi beliau untuk terus kekal bersama skuad bunga raya hingga usia 37 tahun.

Malah, lebih hebat lagi apabila Nyuk Fah masih menyarung jersi Blackhawk dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada ketika usianya mencecah 40 tahun.

Mengimbau kenangan zaman pembabitannya dalam sukan ragbi, Nyuk Fah menyumbang keringat dalam pasukan Blackhawk dan ATM dari tahun 1981 hingga tahun 2000.

Bersama ATM, Nyuk Fah berjaya merangkul Piala Agong sebanyak 11 kali manakala sewaktu menjadi jurulatih skuad Johor, beliau mencipta kejayaan sebanyak dua kali selaku johan piala berprestij itu.

Sebagai pemain dan Ketua Jurulatih negara, beliau telah menghabiskan masa selama 24 tahun dan pastinya pengalaman berharga tersebut menjadi satu kenangan manis buat dirinya.

1991 Hong Kong 7s… Bersama NZ All Blacks dan rakan pasukan Razak Manaf, Razak Sabtu, Badrul Hisham, Yusli Ramli, Zulkifi Ahmad, Azlan Aziz, Fuat Yusoff, Lokman Rejab.
(Gambar koleksi peribadi Lee Nyuk Fah)

Nyuk Fah berpesan kepada generasi muda supaya mengamalkan nilai teras dalam sukan ragbi iaitu DRIPS (Discipline, Respect, Integrity, Passion, Solidarity).

“Sayangi dan cintai diri kita sendiri, tubuh badan yang sihat secara tidak langsung akan menyerlahkan potensi dan membawa kita menuju peringkat seterusnya untuk berjaya,” pesan Nyuk Fah.

Ikuti banyak lagi kisah suka duka pemain lagenda ini yang akan kami bawakan kepada anda, peminat setia Ragbi.my pada episod seterusnya. Teruskan mengikuti posting kami di portal web dan media sosial serta jangan lupa melanggan majalah edisi digital Ragbi.my pada harga paling istimewa.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: