PEMAIN PROFESIONAL PERLU SEDIA CARI KERJA LAIN

Pandemik yang melanda pada ketika ini memberi impak buruk kepada industri sukan global. Penangguhan Sukan Olimpik Tokyo, pembatalan liga serta kejohanan ragbi seluruh dunia memberi kesan langsung kepada pemain-pemain profesional.

Dalam laporan media Newshub, Ketua Eksekutif New Zealand Rugby Players Association (NZRPA) Rob Nichol memberi amaran kepada pemain-pemain ragbi profesional agar bersedia mencari pekerjaan lain berikutan pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada implikasi kewangan New Zealand Rugby (NZR).

Masa depan sukan ragbi yang tidak menentu bakal menjadikan pemain profesional memilih alternatif lain untuk meneruskan kerjaya mereka
Photo by James Coleman on Unsplash

Jelas Nichol, meskipun NZR dan NZRPA komited dalam memerangi penularan virus tersebut, krisis yang berlaku bakal memberi kesan jangka panjang kepada senario sukan di negara itu.

“Mungkin dunia ragbi akan mengalami sedikit perubahan, dan para pemain terpaksa bermain secara semi-profesional dan mempunyai karier lain sejajar dengan ragbi profesional,” kata Nichol.

Anggaran beliau secara kasar bahawa 18 bulan hingga 24 bulan mendatang, sejumlah pemain akan terkesan dengan situasi kewangan sekarang dan mungkin sebilangannya terpaksa meninggalkan sukan ini untuk meneruskan kehidupan.

Bagi pemain All Blacks dan Chief, Damian McKenzie dilaporkan turut bersetuju dengan pandangan tersebut yang menyatakan masa depan tidak menentu menyebabkan beliau turut melihat kepada beberapa alternatif lain.

Isu berkaitan kewangan bukan sahaja membabitkan NZR malah negara kuasa besar ragbi seperti Australia, Scotland, England, Wales dan Perancis.

Kesatuan-kesatuan ragbi antarabangsa membuat pengumuman pengurangan gaji staf dan pemain sebagai langkah mengimbangi kekurangan pendapatan sepanjang pandemik berlaku disebabkan pembatalan liga-liga dan kejohanan.

Terbaharu, Jepun turut menghentikan Japan Rugby Top League (JRTL) bagi tahun 2020 berikutan situasi membimbangkan COVID-19 di negara matahari terbit itu.

Pemain negara, Dineshwaran Krishnan yang mewakili Hino Red Dolphins di liga JRTL telah mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air buat sementara waktu sambil menantikan keadaan kembali reda untuk meneruskan karier bersama kelab itu.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: