KEMELUT MEMUNCAK, RAELENE CASTLE LETAK JAWATAN

Krisis kepimpinan yang melanda Rugby Australia (RA) sampai ke kemuncaknya apabila Ketua Eksekutif, Raelene Castle meletak jawatan semalam.

Dalam satu hebahan melalui Twitter, penulis sukan Wayne Keith Smith memberitahu bahawa Castle telah menghubungi Pengerusi RA, Paul McLean untuk memaklumkan peletakan jawatan sekaligus mengakhiri kepimpinannya selama tiga tahun yang turut melibatkan kes pemecatan bintang ragbi Australia, Israel Folau.

Keputusan peletakan jawatan Castle berlaku selang tiga hari selepas 11 bekas kapten skuad Wallabies menghantar surat kepada RA menuntut perubahan kepimpinan di badan induk tersebut.

Dalam pada itu media turut melaporkan bahawa Castle, yang mencipta sejarah sebagai wanita pertama menerajui RA, telah hilang kepercayaan daripada peminat, pemain, bekas pemain serta lembaga pengarah.

Antara faktor mendorong kepada krisis kepimpinan RA adalah kemerosotan penonton, rating yang menjunam serta kegagalan memperolehi penajaan hak penyiaran telah meletakkan Rugby Australia pada situasi sukar di samping prestasi kurang menonjol Wallabies di peringkat antarabangsa.

Pandemik COVID-19 turut menambah beban Castle apabila Super Rugby dihentikan pada pertengahan bulan Mac lalu dan mengakibatkan kekurangan penjanaan pendapatan RA.

Dalam pada itu, Pengerusi RA yang juga bekas kapten Wallabies Paul McLean telah memanggil kesemua ahli lembaga untuk membincangkan hal tersebut secepat mungkin.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: