GENAP SETAHUN CIKGU SHAM PERGI

Allahyarham Badrul Hisham Basri akan sentiasa diingati sebagai seorang pemain ragbi lagenda yang telah mempamerkan semangat dan kecintaan kepada sukan itu sewaktu hayatnya.

18 Mac 2020 menyaksikan genap setahun pemergian anak jati negeri Perlis itu yang pernah memimpin skuad bunga raya sebagai kapten pasukan.

Ragbi.my menghubungi Setiausaha Kehormat Persatuan Ragbi Perlis, Erri Hardinata untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai sumbangan allahyarham kepada pembangunan ragbi di negeri itu.

Menurut Erri, jasa dan bakti arwah kepada sukan Ragbi di Perlis amat besar dan tiada tolok bandingan.

“Cikgu Sham (nama panggilan arwah) cukup komited dan menggunakan segala pengalaman dan pengetahuannya untuk membangunkan ragbi di Perlis,” kata Erri.

Jelasnya, Badrul Hisham merupakan Pengarah Kejurulatihan di dalam Persatuan Ragbi Perlis sejak dari tahun 2015 lagi.

Selain itu, arwah menyumbang kepakaran selaku Pengarah Teknikal sukan ragbi sekolah-sekolah di negeri Perlis di samping pernah memegang jawatan sebagai Ketua Jurulatih pasukan Perlis 7’s di SUKMA Perak 2018.

“Arwah juga adalah mantan Jawatankuasa Penaja bagi pendaftaran semula Persatuan Ragbi Perlis,” tambah Erri lagi.

Cikgu Sham yang mencurahkan pengalaman ragbi beliau kepada anak didiknya di SMK Syed Sirajuddin sentiasa dikenang sebagai seorang jurulatih yang tegas namun kaya dengan senyuman, prihatin dan bersemangat tinggi.

“Gerak geri serta telatah arwah yang suka tersenyum, menghargai nilai persahabatan serta cintakan ragbi untuk Perlis dan Malaysia sentiasa terpahat di dalam memori kami,” ujar Erri.

Bagi bekas Ketua Jurulatih negara, Lee Nyuk Fah yang turut merasai kehilangannya berkata, allahyarham pernah berada di dalam skuad bimbingannya pada tahun 1998 di Kejohanan Ragbi Asia 15’s di Singapura dan tahun 1999 Piala Raja Thai.

Arwah juga pernah bermain di kejohanan antarabangsa Hong Kong 7’s pada tahun 2001 dan 2002, Kejohanan Divisyen 2 Kesatuan Ragbi Asia (2002-2006), Sukan Asia (2002) serta Sukan Komanwel di Manchester pada tahun 2002.

Nyuk Fah menyifatkan bahawa Badrul merupakan antara pemain muda di posisi flyhalf pada waktu itu yang sangat berbakat, mempunyai fizikal yang kuat dan berkemahiran tinggi.

“Saya masih ingat lagi beliau ialah seorang pemain yang disenangi ramai, sikapnya yang merendah diri dan sangat menghormati orang lain,” kata Nyuk Fah.

Ragbi.my mengajak peminat ragbi negara untuk sama-sama menghadiahkan Al-Fatihah buat allahyarham serta mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Al-Fatihah.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: