10 JURULATIH BANGKIT HEBAT MESKIPUN DIPECAT

Dalam industri sukan, turun naik sesebuah pasukan dipertanggungjawabkan ke atas jurulatih. Sewaktu prestasi pasukan di kemuncak, jurulatih disayangi oleh pengurusan, namun apabila berlaku zaman kejatuhan, jurulatih juga dipersalahkan dan terpaksa mencari hala tuju baharu.

Kami memetik sumber dari portal Rugbypass membawakan senarai 10 jurulatih yang bangkit semula selepas mengalami pemecatan akibat kemerosotan pasukan bimbingan mereka.

STUART LANCASTER

Ketika England terkeluar daripada saingan RWC 2015 di peringkat kumpulan, Stuart Lancaster selaku ketua jurulatih menggalas tanggungjawab tersebut dan meninggalkan RFU pada bulan November tahun yang sama.

Namun nasib beliau berubah apabila memimpin Leinster sejak September 2016 dan terus meraih Champions Cup pada 2018 dan kejuaraan berturut-turut di Guinness Pro-14.

RICHARD COCKERILL

Pada bulan Januari 2017, Richard menamatkan kisahnya bersama Leicester Tiger yang dibina selama 25 tahun sebagai pemain dan jurulatih. Selepas pemecatannya, beliau ke Toulon, Perancis namun kembali ke Edinburg untuk mengendali pasukan itu pada awal musim 2017/18.

Sejak daripada itu, prestasi Edinburg terus meningkat naik ke tangga teratas PRo14 Conference B, dan pada masa yang sama menyaksikan prestasi muram Leicester Tiger masih lagi tidak berubah.

Richard Cockerill

UGO MOLA

Bekas pemain skuad Perancis ini pernah digugurkan selaku jurulatih Castres pada Disember 2007. Namun kesungguhan dan keazaman beliau dibuktikan apabila menjadi pendorong utama kepada kebangkitan Toulouse apabila memenangi kejuaraan Top 14 musim lalu.

MARK McCALL

Menggantikan Mola di Castres, McCall juga melalui zaman kegagalan dalam mengendalikan kelab Ulster di Ireland. Dia kemudiannya menyertai Saracens sebagai jurulatih yang diketuai oleh Brendan Venter. McCall kemudian mengambil alih SAracens pada pertengahan 2010/11 untuk merangkul lima gelaran Primership dan tiga kejuaraan Cup.

FABIEN GALTHIE

Mencetuskan ketegangan bersama pengurusan tertinggi kelab Montpellier, Fabien dipecat pada pertengahan musim 2014/15, menamatkan perjuangan selama empat tahun bersama kelab itu.

Namun Fabien bangkit dan kini mengemudi skuad Perancis selepas kempen RWC. Bekas kapten Perancis itu dilihat mampu meneruskan kecemerlangan pasukan negara itu dan tidak dibayangi kisah silamnya.

EDDIE JONES

Eddie Jones juga tersenarai sebagai antara jurulatih yang pernah mengalami zaman kejatuhan. Di sebalik kejayaan Australia sebagai naib juara RWC 2003, nasib Eddie tidak begitu baik apabila pada tahun 2015 beliau dipecat oleh Rugby Australia.

Bangkit semula sebagai pengarah teknikal Springboks pada RWC 2007, individu di sebalik kebangkitan Jepun pada RWC 2015 dan sekarang membawa England ke final RWC 2019, Eddie tidak pernah menoleh ke belakang untuk meneruskan legasinya.

JOHN MITCHELL

Menggalas tugas sebagai jurulatih antara pasukan terbaik dunia bukanlah satu tanggungjawab mudah. All Blacks yang kalah di tangan Wallabies pada separuh akhir RWC 2003 menjadi alasan Mitchell dipecat.

Beliau kemudian dibawa menyertai skuad England di bawah pimpinan Eddie Jones dan sejak itu mengembalikan prestasi dan menjadi faktor utama kemaraan ke final RWC tahun lepas.

MICHAEL CHEIKA

Meskipun mempunyai rekod cemerlang sebagai jurulatih Leinster dan New South Wales Waratahs, kegemilangan Cheika bersama Stade Francais agak kurang menonjol dan berakhir pada tahun 2012.

Beliau kemudiannya menjadi jurulatih Wallabies pada tahun 2014 hinggalah ke tahun 2019. Membawa Wallabies ke final RWC 2015 menentang All Blacks, merangkul juara Rugby Championship serta dianugerahkan Jurulatih Terbaik oleh World Rugby.

Michael Cheika

WARREN GATLAND

Pengendali kelab Chief ini pernah memegang jawatan jurulatih skuad Ireland pada tahun 1998 – 2001. Beliau dipecat daripada peranan itu sekitar November 2001 untuk memulihkan prestasi Ireland pada ketika itu.

Namun Gatland tidak kecewa malah terus bangkit dan hasilnya beliau membawa Wales untuk memenangi Grand Slam di Six Nations Cup sebanyak tiga kali, menang dan seri ke atas British and Irish Lions, tiga gelaran Premiership dan Heineken Cup bersama Wasps, sudah pasti membuktikan beliau berjiwa kental dan bersemangat waja.

GRAHAM HENRY

Di sebalik permulaan yang baik sewaktu mengendalikan Wales pada tahun 1998, prestasi skuad bimbingannya mulai merudum menyebabkan beliau meninggalkan jawatan itu pada bulan Februari 2002 selepas tewas dengan rekod 54-10 di tangan Ireland.

Graham Henry digelar arkitek kepada pasukan All Blacks

Namun Henry bangkit dan ditawarkan berkhidmat dengan All Blacks pada tahun 2004. Dilabelkan sebagai arkitek All Blacks yang mendorong kejayaan pasukan itu untuk tahun-tahun mendatang hinggalah kepada kejayaan di RWC 2011 menewaskan Perancis 8-7 dalam satu pertembungan epik.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: