GENG RAGBI 90-an PASTI KENAL REFEREE INI

Pemain ragbi serta jurulatih sekitar tahun 90-an semestinya mengenali atau sekurang-kurangnya pernah melihat susuk tubuh pengadil ini dalam mengendalikan perlawanan ketika itu.

Ragbi.my berkesempatan menemubual Kolonel (PA) Prof. Madya Dr. Mohamad Nizam Nazarudin atau lebih dikenali dengan nama Buloq, antara pengadil muda dan berbakat serta berpengalaman luas yang terlibat dalam pelbagai kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada tahun 90-an.

Mengimbau zaman tersebut, Dr. Nizam memberitahu Ragbi.my bahawa penglibatannya sebagai pengadil bermula pada tahun 1990 iaitu ketika masih menuntut di Universiti Pertanian Malaysia (sebelum dikenali Universiti Putra Malaysia).

“Pada mulanya semua pemain Serdang Angels disuruh mengambil kursus pengadil bagi memantapkan lagi pengetahuan berkaitan undang-undang ragbi,” jelas Dr. Nizam.

Dr. Nizam atau lebih dikenali dengan nama Buloq sewaktu menjadi Pembantu Pengadil di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 98

Selepas menjalani kursus tersebut, beliau dan rakan-rakan lain akan bertugas di mana-mana kejohanan di dalam kampus selain bermain untuk Serdang Angels.

“Saya terus menjadi pengadil kerana boleh menjana pendapatan sampingan dan ianya banyak membantu saya sebagai mahasiswa pada ketika itu,”

“Bayaran yang diterima sebagai pengadil agak lumayan dan saya menggunakannya untuk membayar bil telefon serta ansuran motor,” tambah beliau sambil tersenyum mengingati kisah zaman mudanya.

Selain bayaran, motivasi beliau untuk meneruskan karier sebagai pengadil semakin tinggi apabila melihat ruang dan peluang untuk menyerlah ke peringkat antarabangsa.

Dr. Nizam pada zaman mudanya bersama rakan-rakan pengadil

Sekitar tahun 1996 hingga 1998, Dr. Nizam terlibat secara langsung sebagai pengadil di kejohanan MSSM, Piala Agong, National 7’s, National U23, COBRA 10’s, Jonah Jones serta pelbagai kejohanan lain.

Selain menjadi pengadil, Dr. Nizam menumpukan perhatian kepada kerjaya hakikinya ketika itu selaku Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Setapak dan kemudiannya dilantik sebagai Pegawai Belia dan Sukan di UPM pada tahun 1996 hingga 2005.

Ditanya apakah kenangan paling tidak dapat dilupakan sewaktu menjadi pengadil, beliau menjawab,

“Dalam satu perlawanan Inter-Service di Kota Kinabalu pada 2006, saya melayangkan tujuh kad merah, satu rekod yang takkan saya lupakan kerana pemain kedua pasukan asyik bertumbuk dari awal hingga akhir,”

Dr. Nizam

Manakala kenangan manis serta pencapaian buat diri beliau dan negara ialah apabila dipilih selaku Assistant Referee tunggal dari Malaysia untuk mengendalikan perlawanan akhir acara ragbi di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 antara Fiji dan New Zealand.

Antara gambar koleksi peribadi beliau bersama bintang All Blacks, Jonah Lomu

“Seumur hidup saya, tidak pernah menyaksikan Stadium MPPJ penuh, langsung tak nampak lantai, semuanya dipenuhi manusia. Sorakan padu mereka benar-benar meremangkan bulu roma saya sepanjang perlawanan,” tambahnya lagi.

Lagu “Standing in The Eyes of the World” nyanyian Ella yang menjadi lagu tema Sukan Komanwel Kuala Lumpur 98 sentiasa terngiang-ngiang di telinganya sebagai satu sejarah serta pencapaian yang tidak akan luput ditelan masa.

Bersama rakan-rakan seperjuangan

Jelasnya lagi, karier beliau sebagai pengadil telah membawanya ke seluruh dunia untuk bertugas di kejohanan-kejohanan antarabangsa seperti Hong Kong 7’s, Dubai 7’s, Singapore 7’s serta Benidorm 7’s di Sepanyol.

Beliau juga bertugas sewaktu kelayakan Piala Dunia 15’s di Malaysia dan Thailand serta kejohanan Asia U23 15’s.

Meneruskan minatnya dalam dunia ragbi, Dr. Nizam merupakan pengadil Gred 1 (Antarabangsa) di Malaysia dan seterusnya memiliki sijil World Rugby Coach Match Official Level 2 serta World Rugby Educator manakala sebagai ahli akademik, beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan sains sukan.

Dr. Nizam sewaktu bertugas di perlawanan antarabangsa

Pada ketika ini, Dr. Nizam berkhidmat selaku Pensyarah Kanan Sains Sukan (Profesor Madya) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu selain menabur bakti dalam badan beruniform Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dengan pangkat Kolonel Bersekutu.

Bagi pengikut setia Ragbi.my, ada banyak lagi kisah menarik serta perkongsian oleh Dr. Nizam atau Buloq yang akan kami bawakan secara eksklusif dari masa ke semasa.

Jadi teruskan mengikuti edisi berikutnya majalah Ragbi.my untuk mengetahui kisah-kisah menarik pengadil berpengalaman ini yang dikongsikan khas buat penggiat ragbi negara.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: