SELAMAT HARI ANGGOTA BOMBA SEDUNIA BUAT RUGGERS PENYELAMAT BERJIWA KENTAL

Hari Anggota Bomba Sedunia disambut pada 4 Mei setiap tahun bagi mengenang dan menghargai jasa pasukan penyelamat itu yang sentiasa bersedia menghadapi pelbagai risiko dalam melaksanakan tugas mereka.

Bersempena dengan sambutan ini, Ragbi.my mengambil kesempatan untuk berkongsi kisah dua orang ‘ruggers’ yang berkhidmat dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Timbalan Pesuruhjaya Bomba Nor Hisham Mohammad, nama yang tidak asing lagi dalam warga Bomba merupakan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM di ibu pejabat Putrajaya.

Poster ucapan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia daripada TPjB Nor Hisham Mohammad

Sukan ragbi adalah sebahagian daripada dirinya malah ramai tidak menyedari bahawa beliau adalah antara pemain utama Universiti Malaya (UM) Blues dari tahun 1992 hingga 1995.

Nor Hisham juga menyarung jersi Selangor bawah 23 tahun pada 1994, seterusnya beraksi untuk Kuala Lumpur di Piala Agong (1996-1998) di samping bermain untuk kelab-kelab antaranya Kelab Sultan Sulaiman, Kepayan Tiger, UMS Rafflesia serta KRFC.

Nor Hisham bersama pasukan Kelab Sultan Sulaiman di Penang 10’s

Minatnya terhadap ragbi sentiasa membara, namun keadaan semasa dunia pada ketika ini tidak membenarkan beliau kembali ke sukan yang sangat dicintainya buat sementara waktu.

UMS Rafflesia antara pasukan yang pernah diwakili Nor Hisham

Bertugas sebagai ‘frontliners’ bersama ribuan anggota lain, Nor Hisham kini fokus terhadap tanggungjawab membanteras penularan pandemik COVID-19 serta operasi-operasi berkaitan sanitasi awam, nyahcemar, pengangkutan dan pemindahan PUI di samping tugas utama iaitu menjaga keselamatan nyawa dan harta benda awam.

Nor Hisham terlibat secara langsung dalam Humanitarian Assistance and
Disaster Relief (HADR) 4 iaitu misi membawa pulang rakyat Malaysia dari Itali

“Sebagai seorang ‘rugger’ dan penyelamat, hati mesti cekal dan digabungkan dengan disiplin padu supaya dapat melahirkan semangat juang yang tinggi”

Nor Hisham

“Pada ketika negara berdepan dengan norma baharu, jangan lupa bahawa kita juga berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu,” jelasnya lagi.

Seterusnya kami membawakan seorang lagi ‘rugger’ daripada JBPM, Es Lizan Nurhan Amir yang kini bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari, Melaka.

Es Lizan (kiri) bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari, Melaka

Bermain di posisi flanker, pengalaman Es Lizan dalam sukan ragbi tidak boleh dinafikan. Bermula dengan MSSM Melaka, aksi serta kelincahan beliau di padang diteruskan bersama kelab-kelab seperti MORUC, Intekma Lions, XLions, SDAROBA, MCOBA serta XMORUC.

“Ragbi telah melatih saya agar sentiasa fokus, berdisiplin dan bekerja sebagai satu pasukan”

Es Lizan

“Prinsip inilah menjadi asas kepada saya sepanjang 18 tahun perkhidmatan dengan pasukan Bomba dan Penyelamat,” kata Es Lizan.

Meskipun pada ketika ini beliau sibuk dengan tugasan di barisan hadapan, padang ragbi dan rakan-rakan sepermainannya sentiasa dalam ingatan.

“Memang teringin sangat untuk bermain di padang, namun apakan daya, semua orang terkesan disebabkan wabak ini, jadi kita harus akur dan patuh pada arahan pihak berkuasa di samping banyakkan doa agar musibah ini berakhir,” kata Es Lizan.

Es Lizan (berdiri, dua dari kanan) bersama rakan-rakan sepasukan XMORUC ketika menyertai satu kejohanan ragbi tahun lepas

Ragbi.my serta seluruh rakyat Malaysia khususnya komuniti ragbi mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada pegawai dan anggota Bomba dan Penyelamat di atas pengorbanan serta jasa bakti yang dicurahkan demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Buat penyelamat ‘ruggers’ yang kami sanjungi, andalah hero di padang dan di lapangan, teruskan perjuangan kerana kami sentiasa ada untuk memberi sokongan serta doa yang tidak pernah putus.

SELAMAT MENYAMBUT HARI BOMBA SEDUNIA, SALAM DAN TABIK HORMAT DARIPADA KAMI DI RAGBI.MY

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: