BUKAN SEKADAR “WHISTLE, SIGNAL, TALK” KOMUNIKASI BERKESAN JAMIN MUTU PENGADILAN

Artikel ditulis oleh Kolonel (PA) Prof. Madya Dr. Mohamad Nizam Nazarudin, World Rugby Match Official Educator / Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah.

Pengadil sering dipersalahkan atas kesilapan dan ketidakadilan dalam perlawanan ragbi. Jika kita imbas kembali sejarah ragbi tanah air di mana terdapat insiden pasukan yang membuat laporan kepada penganjur dan ada juga yang menghantar rakaman video ke luar negara bagi menunjukkan kesilapan pengadil.

Bukan itu sahaja malah pernah terjadi di mana pasukan meminta khidmat pengadil dari luar negara mengadili perlawanan akhir kerana tidak puas hati dengan pengadil tempatan yang ada.

Latihan kepengadilan setakat ini hanya menumpukan kepada pengetahuan undang-undang, posisi melihat permainan, dan kesesuaian untuk beralih ke posisi terbaik sepanjang permainan. Komunikasi sebelumnya hanya terhad kepada “whistle, signal, talk.”

Adalah penting bagi pengadil memberikan isyarat (signaling) dan menyatakan mengapa mereka meniup wisel.  Pemain mahukan penjelasan atau kepastian apakah kesalahan mereka agar mereka tidak akan mengulanginya lagi.

Pengadil harus memiliki kemahiran berkomunikasi paling cekap untuk mengendalikan sebarang perlawanan (Gambar hiasan)

Adakala pemain yang berpengalaman sengaja ingin mencuba menguji keputusan pengadil. Pengadil diharapkan dapat menguruskan permainan, mengekalkan kawalan, dan meningkatkan mutu permainan.

Pengadil yang berpengalaman lebih mahir berkomunikasi semasa perlawanan. Ini berdasarkan pengalaman yang telah mereka lalui beserta ilmu pengetahuan yang telah diperoleh. Namun kebanyakan latihan komunikasi yang dipraktiskan sekarang adalah berdasarkan nasihat pengadil berpengalaman atau jurulatih pengadil (CMO) kepada pengadil junior.

Kemahiran komunikasi dikatakan diperoleh secara semula jadi dimana faktor X interpersonal tidak dimiliki oleh kebanyakan pengadil. Sebenarnya kemahiran komunikasi dapat dilatih, seperti pengetahuan undang-undang, pemahaman permainan, praktis terbaik posisi, tumpuan mental, dan kecergasan fizikal.

Pihak Match Official Educator Malaysia Rugby telah pun menambahbaik kursus kepengadilan yang sedia ada dengan memasukan beberapa sesi lakonan watak berkaitan komunikasi.

Perlawanan yang tegang akan menyebabkan pemain serta jurulatih sentiasa mempertikaikan keputusan pengadil dari aspek apa yang mereka nampak tetapi bukannya dari sudut seorang pengadil.

Terlalu banyak kegelisahan pada diri pengadil akan menghalang pembuatan keputusan, dan kekecewaan yang menimbulkan kegelisahan. Kita perlu menyedari punca-punca kekecewaan pengadil dan pemain bagi menyediakan persekitaran  para pemain dapat menunjukkan kemahiran dalam permainan.

Komunikasi pengadil yang berkesan ialah yang melibatkan cara komunikasi pengadil, kemahiran berkomunikasi, dan impresi pemain terhadap pengadil.

Cara Komunikasi Pengadil

Cara komunikasi yang baik akan membolehkan pengadil menarik perhatian pemain yang melakukan kesalahan, melahirkan keyakinan dalam pembuatan keputusan, dan mempromosikan persepsi tentang keadilan. Contoh cara komunikasi yang baik adalah:

  • Mengelakkan kata-kata dan tindakan yang tidak perlu
  • Penjelasan kurang daripada enam perkataan
  • Lebihkan ketenangan berbanding kemarahan
  • Memberikan penjelasan dianggap lebih tepat daripada keputusan tanpa penjelasan

Kemahiran Berkomunikasi

Jangan menguji diri anda dalam membuat keputusan yang tepat tetapi lebih baik menguji diri anda untuk menjelaskan keputusan yang betul.

Pengadil dan CMO biasanya akan menumpukan pada membuat panggilan yang tepat, tetapi latihan menjelaskan panggilan yang tepat semasa situasi permainan jarang ditekankan. Apa yang menjadikan pengadil seorang komunikator yang baik adalah  apabila menempuhi sesuatu situasi, mereka akan mengimbas ingatan mereka untuk tujuan komunikasi, mengkaji pilihan yang berbeza, dan sesuaikan dengan situasi itu.

Contohnya apabila pengadil melayangkan kad merah, bagaimanakah pengadil cuba berkomunikasi? Ketenangan beri penjelasan khusus kepada kesalahan akan memudahkan pengadil mengenakan tindakan. Dalam keadaan marah, pemain dapat menerima keputusan pengadil jika kesalahan itu dapat dibuktikan serta diterangkan.

Impresi Pemain Terhadap Pengadil

Akhir sekali adalah berkaitan pertimbangkan impresi pemain. Pemain kemungkinan besar akan menerima komunikasi secara positif sekiranya mereka menganggap keputusan itu adil.

Keadilan ditentukan oleh pengadil yang kompeten, boleh dipercayai, dan dihormati. Tiga faktor ini wujud sebelum permainan dimulakan dan merupakan sebahagian penting kualiti setiap pengadil untuk membina impresi yang bermanfaat bersama pemain dan jurulatih.

Sebelum perlawanan pengadil dicadangkan berjumpa pengurus, jurulatih, ketua pasukan dan pemain bersama-sama pembantu pengadil. Jelaskan kepada mereka apa yang diharapkan dalam perlawanan nanti dan memohon kerjasama untuk mengawal perlawanan. Ketika ini pengadil akan dilihat dari keyakinan, pengetahuan dan boleh dipercayai.

Ketika perlawanan pula pengadil akan dilihat dari segi kawalan permainan, keadilan dan komunikasi. Jika setiap kesalahan dapat dijelaskan dan keputusan seimbang bagi kedua-dua pasukan, sudah pasti mereka mempunyai impresi yang positif dan tidak akan menganggu sebarang keputusan pengadil.

Ini bermakna dengan mengembangkan kemahiran mengenalpasti empati, cara merancang dan mengira semula mesej semasa permainan, ciri-ciri peribadi yang menghasilkan kecekapan, kebergantungan dan rasa hormat, pengadil dapat memupuk komunikasi yang efisien bagi memastikan permainan yang lebih baik.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: