KETAHUI LALUAN SEBAGAI PENGADIL RAGBI

Artikel oleh Kolonel (PA) Prof. Madya Dr Mohamad Nizam Bin Nazarudin, World Rugby Match Official Educator/ Pensyarah Sains Sukan Universiti Malaysia Sabah.

Dalam 5 tahun kebelakangan ini didapati terdapat peningkatan jumlah pemain ragbi daripada pelbagai peringkat umur dan jantina di Malaysia.

Ini dapat dilihat dengan penambahan jumlah kejohanan ragbi, pasukan ragbi dan kategori dalam pertandingan. Dengan peningkatan jumlah ini maka keperluan pengadil turut mendesak dan merupakan satu cabaran bagi Kesatuan Ragbi Malaysia.

Dalam satu minggu pernah ada pengadil yang mengadili sehingga 3 kejohanan. Perkara ini turut membimbangkan tahap kesediaan, kesihatan, kecergasan, dan pemulihan pengadil terlibat.

Pihak Kesatuan Ragbi Malaysia amat mengalu-alukan penyertaan daripada orang ramai untuk menyertai kursus kepengadilan World Rugby bagi mengatasi cabaran ini.

Faedah yang bakal diperoleh sebagai seorang pengadil antaranya adalah seperti ganjaran kewangan, pakaian, pengembaraan dan cabaran.

Dr Mohamad Nizam terlibat secara langsung dalam bidang kejurulatihan pengadil di Malaysia

Berdasarkan sistem pendidikan World Rugby, laluan sebagai pengadil telah ditukar bagi memenuhi keperluan permainan ragbi masa kini. Sebelum ini bagi memulakan laluan sebagai pengadil, kursus asas tahap 1 ini dibahagikan kepada dua iaitu untuk 15 sebelah dan 7 sebelah.

Peserta dikehendaki mengambilnya secara berasingan. Kini kedua-dua kursus ini telah digantikan dengan kursus baru iaitu Introduction to Match Officiating (Level 1) Course.

Kursus ini bersesuai untuk mengadili kedua-dua variasi permainan. Kursus Tahap 2 yang sedia ada juga telah ditukarkan menjadi satu iaitu The Developing Match Official Course 15s & 7s. Namun kursus tahap 3 masih dikekalkan dan dibahagikan kepada dua iaitu 7 sebelah dan 15 sebelah. Kursus ini dinamakan dinama The Advancing Match Official.

Bagaimanakah memulakan langkah sebagai seorang pengadil?

Langkah pertama yang adalah dengan melayari laman World Rugby Passport di https://passport.worldrugby.org/ dan mendaftarkan diri.

Jangan lupa email dan password yang digunakan kerana ia penting untuk memasuki laman tersebut untuk urusan seterusnya selepas ini.

Langkah kedua ialah mendaftarkan diri dengan mana-mana kursus Introduction to Match Officiating (Level 1) Course yang biasanya dianjurkan oleh Kesatuan Ragbi Negeri,  kelab ragbi, organisasi pendidikan dan Kesatuan Ragbi Malaysia sendiri.  Jika masih belum ada kursus yang bakal dijalankan, anda boleh terus laksanakan langkah ke-3 dahulu kerana ia juga akan memakan masa.

Langkah ketiga ialah anda dikehendaki mengambil dan lulus kursus online berikut di laman web World Rugby iaitu Introduction to Match officiating (Pre-L1), Rugby Ready, Law Test, Concussion Management, Technical Zone dan Match Day Observation. Setiap modul perlu dilayari dan lulus ujian yang diberikan untuk memperoleh  e-sijil. Kesemua  e-sijil World Rugby ini boleh terus dimuat turun.

Langkah keempat pula perlu hadir dan mengikuti sepenuhnya kursus Introduction to Match Officiating (Level 1) Course selama dua hari yang dijalankan secara bersemuka.

Antara latihan secara bersemuka dijalankan bagi menambah kefahaman bakal pengadil

Peserta didedahkan berkenaan asas kepengadilan secara teori dan praktikal. Kesemua e-sijil ini perlu diserahkan kepada penganjur sebelum bermulanya kurus.

Jika kursus ini diadakan sempena suatu pertandingan ragbi maka anda berpeluang didedahkan menjadi pegawai teknikal. Selepas menamatkan kursus ini, satu sijil tahap 1 boleh dimuat turun melalui World Rugby Passport. Ketika ini anda masih belum lagi membolehkan anda menjadi pengadil kerana perlu ke langkah seterusnya.

Ringkasan laluan mendapatkan kalayakan untuk bergelar pengadil sukan ragbi

Langkah kelima dimana anda perlu laporkan diri dan mendaftar dengan kesatuan ragbi negeri anda. Kebiasaannya anda akan diberikan tanggungjawab membantu pertandingan-pertandingan di peringkat dalam negeri.

Ketika ini anda biasanya akan memulakan praktikal sebagai pembantu pengadil. Coaching Match Official (CMO) akan memantau dan membantu meningkatkan prestasi seterusnya menghantar laporan kepada pihak Kesatuan Ragbi Malaysia.

Jika pihak CMO berpuashati dengan prestasi asas kepengadilan anda dalam sekurang-kurangnya 3 perlawanan barulah anda akan dilantik sebagai pengadil di bawah Kesatuan Ragbi Malaysia.

Kelima-lima langkah ini dipraktiskan oleh Kesatuan Ragbi Malaysia agar menjaga mutu kepengadilan di samping menyediakan pengadil yang benar-benar terlatih mengikut proses yang ditetapkan.

All the best! Dan selamat datang ke dunia kepengadilan!

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: