KENALI JENIS PASUKAN RAGBI DI DUNIA

Selain daripada pertandingan atau pun perlawanan yang melibatkan pertembungan antara dua negara, sukan ragbi juga menyajikan perlawanan antara pasukan yang melibatkan gabungan beberapa buah negara (combination sides) dan juga gabungan beberapa buah kelab jemputan (invitation sides).

Artikel kali ini akan berkongsi mengenai negara dan kelab yang terlibat dalam combination sides dan juga invitation sides.

Combination Sides

British and Irish Lions

Pasukan ini adalah kombinasi pemain pemain yang dipilih daripada negara England, Scotland, Wales dan Ireland. Pasukan ini kebiasaannya akan memilih pemain yang pernah mewakili negara masing masing akan tetapi tidak menjadi masalah kepada pasukan ini untuk menyenaraikan pemain yang belum pernah membuat penampilan antarabangsa (uncapped players).

British and Irish Lions akan melakukan jelajah siri perlawanan setiap 4 tahun sekali, dengan negara negara seperti New Zealand, Australia dan Afrika Selatan secara bergilir. Jelajah terakhir yang disertai oleh pasukan ini adalah pada tahun 2017 menentang pasukan New Zealand dengan keputusan 1 menang, 1 kalah dan 1 seri.


Sejarah mencatat jelajah terawal yang disertai oleh pasukan yang mulanya dikenali sebagai Shaw & Shrewsbury Team ini adalah pada tahun 1888 di Australia dan New Zealand. Sebelum ini Argentina merupakan destinasi jelajah untuk pasukan ini tetapi tidak disambung selepas tamatnya perang dunia pertama. Pemain yang mempunyai penampilan terbanyak untuk pasukan British and Irish Lions adalah Willie John McBride (Ireland Utara) (17 caps) dan penjaring terbanyak dimiliki oleh Gavin Hasting (Scotland) (69 mata).

Pacific Islanders

Pasukan Pasific Islanders merupakan gabungan pemain pemain antarabangsa yang mewakili negara Fiji, Samoa, Tonga, Niue dan Kepulauan Cook. Ditubuhkan pada tahun 2003, pasukan ini telah menunjukkan yang mereka mampu bersaing dengan kuasa kuasa besar ragbi ketika jelajah sulung mereka pada tahun 2004. Walaupun kalah tipis kepada Australia, New Zealand dan Afrika Selatan, pasukan ini telah tampil dan memberikan saingan sengit.

Pada tahun 2006, pasukan ini telah melakukan jelajah ke negara negara celtic (Scotland, Wales, Ireland) dan pada tahun 2008 pasukan ini telah menyertai jelajah Eropah dengan melakukan perlawanan siri ujian menentang England, Perancis dan Itali.

Tahun 2009 merupakan tahun berakhirnya ikatan antara pasukan kepulauan pasifik ini di mana pasukan Samoa telah menarik diri kerana beranggapan bahawa gabungan ini tidak memberikan manfaat yang besar dari segi kewangan kepada ahli gabungan.

East Africa Rugby

Ditubuhkan pada tahun 1950, pasukan ini diwakili oleh majoriti pemain daripada negara Kenya, Uganda dan Tanzania. Pasukan ini telah melakukan 7 jelajah di antara tahun 1954 hingga 1982. British & Irish Lions pernah menentang pasukan ini ketika melakukan jelajah ke Afrika Selatan pada tahun 1955 dan 1962.

Setelah terbiar lama tanpa sebarang perlawanan selama hamper 30 tahun, pada tahun 2012 pasukan ini telah dibangkitkan semula dengan mengadakan perlawanan menentang England Counties XV.

South American Jaguars

Dikenali juga sebagai CONSUR XV dan South American XV, pasukan ini ditubuhkan pada tahun 1980 menentang pasukan daripada Afrika Selatan dan dianggotai oleh pemain daripada Argentina, Uruguay, Chilie, Paraguay dan Brazil. Sebanyak 8 perlawanan siri ujian berlangsung antara pasukan ini dan Afrika Selatan (1980 – 1984) mereka berjaya menewaskan Afrika Selatan pada tahun 1982.

Pada tahun 2011, pasukan ini telah membuat penampilan semula dengan menentang pasukan argentina dan tewas pada perlawan tersebut. Kali terakhir pasukan ini beraksi adalah pada perlawanan pemanas badan menentang pasukan Uruguay pada tahun 2019.

Antara pasukan pasukan combination sides yang pernah dibentuk selain daripada di atas adalah African Leopard, Arabian Gulf Rugby Team dan Commonwealth of Independent States.

Invitation Sides

Barbarian FC

Kelab yang terkenal dengan panggilan Baa-Baas, ditubuhkan di Britain pada tahun 1890. Idea yang dicetuskan oleh William Percy Carpmeal (pemain ragbi Cambridge University) di mana pasukan ini akan mengumpulkan pemain pemain daripada pelbagai kelab dan melakukan jelajah untuk mencabar kelab kelab terkemuka di England ketika itu telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dan dipersetujui oleh ahli pasukan terutamanya bekas-bekas pemain university.

Aksi pasukan Barbarians FC sentiasa mendapat perhatian peminat ragbi dunia
(Sumber: Laman Youtube Barbarian FC Official)

Telah menjadi kebiasaan untuk pasukan ini melakukan siri jelajah perlawanan ujian ketika bulan November, terdapat juga perlawanan- perlawanan yang berlangsung selain daripada bulan November.

Kelab yang mempunyai tradisi yang tersendiri, telah menghimpunkan puluhan pemain pemain daripada pelbagai kelab dan negara. Dengan jersi tradisional belang hitam dan putih dan pemakaian stokin kelab masing masing, ini menjadikan identiti kelab Baa-Baas ini unik dan menjadi tarikan ramai. Kelab ini juga akan menurunkan seorang uncapped players (pemain yang tidak pernah mewakili negaranya) dalam setiap perlawanan.

Selalu tampil dengan taktikal yang kreatif dan bersahaja, antara nama nama besar yang pernah membarisi pasukan ini adalah seperti Jonathan Davies, Gavin Hastings, Jeremy Guscott, Nick Farr-Jones, Francois Pienaar, Zinzan Brooke, Joost Van der Westhuizen, Olivier Magne, Lawrence Dallaglio dan Jonah Lomu.

World XV

Pasukan World XV, ataupun dikenali juga sebagai Rest of the World XV diwujudkan secara ‘ad-hoc basis’ di mana pasukan ini terdiri daripada pemain pemain jemputan dari pelbagai negara. Pelbagai persatuan dan kesatuan yang telah bergilir-gilir menyelia dan mengaturkan perlawanan untuk pasukan ini menentang pasukan kebangsaan.  Akan tetapi perlawanan yang membabitkan World XV tidak akan dikira sebagai siri perlawanan ujian oleh kebanyakan negara.

Antara aksi World XV dalam penampilan mereka menentang pasukan-pasukan terkemuka dunia (Sumber: Laman Youtube Rapid Rugby)

Kapten pasukan British and Irish Lion iaitu Willie John McBride telah mengetuai pasukan World XV buat kali pertama menentang pasukan bintang pilihan Mome du Plessis pada tahun 1977 bersempena dengan pembukaan Stadium Loftus Versfield.

Kali terakhir pasukan ini beraksi adalah menentang kelab Western Force pada 22 Mac 2019 dan dipimpin oleh Robbie Deans (Australia) sebagai ketua jurulatih.

Antara pasukan pasukan invitation sides yang pernah dibentuk selain daripada di atas adalah President’s Overseas XV, Four Home Unions XV dan Rest of Europe XV.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: