TIADA KOMUNIKASI JELAS PUNCA ISU KONTRAK RIMAU 7’S

Perhatian peminat sukan tanahair khususnya netizen pastinya tertumpu kepada perkembangan terkini skuad ragbi 7 sebelah negara dengan isu hangat kontrak yang tidak disambung oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Ragbi.my meninjau perdebatan yang hangat diperkatakan ini dengan menghubungi bekas pemain skuad Rimau 7’s iaitu Siddiq Jalil, Anwarul Hafiz (Goncang) dan Muhammad Azwan Zuwairi (Puteh) bagi mendapatkan gambaran sebenar dari sudut pemain mengenai hal ini.

Menurut Siddiq, beliau dan rakan-rakan sepasukan yang lain sememangnya mengetahui bahawa kontrak bersama MSN akan berakhir Mac lalu namun tidak menyangka pihak pengurusan hanya membisu tanpa ada sebarang perbincangan atau perancangan mengenai hala tuju pasukan tersebut.

Tambah menarik, berita mengenai pemain bawah 22 tahun (B22) yang diserap sebagai pasukan 7’s negara hanya diketahui melalui media massa dan media sosial namun tidak disampaikan kepada ‘bekas’ pemain secara langsung.

Skuad Rimau 7’s dalam misi mempertahankan emas Sukan SEA 2019 di Filipina
(Sumber: Laman Facebook page Malaysia Rugby)

“Memang kami tahu kontrak tamat pada bulan Mac, cuma apa yang dikesalkan ialah tiada apa-apa komunikasi antara pihak pengurusan dan pemain dan kami dibiarkan begitu sahaja tanpa ada sebarang penerangan atau rancangan masa depan kami,” jelas Siddiq ketika dihubungi.

“Perasaan terkilan itu ada kerana kami hanya mengetahui perkembangan skuad Rimau 7’s melalui berita di TV sedangkan pihak pengurusan hanya mendiamkan diri sehinggalah perkara ini dibangkitkan oleh netizen di media sosial,”

Siddiq

Manakala bagi Goncang, beliau kesal apabila sumbangannya dan rakan-rakan sepasukan yang lain dalam menaikkan nama negara seolah-olah diketepikan meskipun telah mencipta rekod cemerlang dalam Sukan SEA, Sukan Asia serta di Kejohanan Ragbi 7’s Asia.

“Kami berhempas pulas selama ini untuk mengharumkan nama negara tetapi tidak menyangka ianya berakhir dalam situasi begini yang mana kami sendiri tidak tahu masa depan skuad Rimau 7’s menjelang Kejohanan Siri Ragbi Asia 7’s Ogos nanti,” jelas Goncang.

“Pada ketika prestasi pasukan Rimau 7’s berada di tahap tinggi dan bersedia menggalas cabaran, kami dibiarkan tanpa hala tuju dan ini pastinya menjejaskan moral rakan-rakan lain,” tambahnya lagi.

Bagi bekas pemain termuda skuad Rimau 7’s, Puteh yang mencecah usia 23 tahun pula berkata, tindakan berdiam diri pihak pengurusan menjelang penamatan kontrak pada Mac lalu membuatkan pemain rasa disisihkan dan tidak dihargai.

“Seperti pemain lain, saya betul-betul rasa tersisih kerana berita hanya tersebar tanpa pengetahuan kami, sekurang-kurangnya ada sedikit penerangan atau berkongsi dengan kami perancangan seterusnya, ianya sudah memadai,” kata Puteh.

Puteh yang turut sama menyumbang emas skuad Rimau 7’s pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 jelas kesal kerana pihak pengurusan seolah-olah tidak melihat sumbangan dan prestasi semasa

“Bukan kami hendak dijulang atau diagung-agungkan, tapi cukuplah dengan pengumuman rasmi atau penerangan mengenai masa depan kami oleh pihak pengurusan, atau setidak-tidaknya satu program penutup bagi kami skuad Rimau 7’s yang selama ini akrab seperti adik beradik,” jelas Puteh.

Bagi Siddiq, Goncang dan Puteh, mereka sedia memberi laluan kepada skuad baharu B22 namun proses peralihan tersebut seharusnya dibuat secara tersusun dan bukannya dalam keadaan seperti sekarang.

Dari kiri: Siddiq, Goncang & Puteh bakal tumpukan perhatian kepada pasukan 15’s negara

“Sekiranya proses peralihan berlaku dengan terancang dan teratur, saya yakin peminat ragbi tanahair turut menyokong usaha itu kerana kita semua ingin melihat kejayaan skuad Rimau di peringkat Asia mahupun peringkat dunia,”

Puteh

Ditanya apakah perancangan ketiga-tiga pemain ini berikutan kontrak yang tidak disambung oleh MSN, Siddiq, Goncang dan Puteh memberitahu mereka akan menumpukan perhatian untuk skuad 15’s negara selagi mana khidmat mereka diperlukan oleh Malaysia Rugby (MR).

Bagi Siddiq dan Goncang, masanya telah tiba buat diri mereka untuk meninggalkan skuad Rimau 7’s dan memberi laluan kepada bakat-bakat baru untuk mengekalkan pencapaian yang telah diraih sebelum ini.

Manakala bagi Puteh, beliau akan kembali menumpukan sepenuh masa untuk menamatkan pengajiannya dalam bidang pendidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan bermain dalam kejohanan tempatan serta memberi komitmen untuk skuad Bunga Raya apabila dipanggil kelak.

Dapatkan edisi terkini Ragbi.my (Issue #004) Edisi digital & cetakan

https://ragbi.my/product/ragbi-my-magazine-may-2020/

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: