KENYATAAN MEDIA MALAYSIA RUGBY TERIMA PELBAGAI REAKSI NETIZEN

Susulan luahan hati oleh bekas pemain skuad Rimau 7’s yang mendapat perhatian media dan netizen, semalam Malaysia Rugby (MR) mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.

Dalam siaran akhbar oleh Presiden MR, YB Dato’ Shahrul Zaman Yahya menjelaskan bahawa pasukan 7 sebelah yang dibentuk dengan penyertaan pemain bawah 22 tahun (B22) adalah bertujuan untuk membawa pulang pingat gangsa Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun.

Kenyataan akhbar setebal empat muka surat yang disiarkan di media sosial rasmi itu menyebut bahawa KRM sedang dalam proses merayu Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menempatkan lima pemain senior daripada skuad Rimau 7’s sedia ada ke dalam program Sukan Asia 2026.

Kenyataan akhbar Malaysia Rugby yang disiarkan di laman page Facebook rasmi Malaysia Rugby Union

Antara kandungan lain dalam kenyataan akhbar itu turut menyentuh peranan MR dalam usaha membantu dan menjaga kebajikan pemain Rimau 7’s melalui penempatan bersama pasukan profesional antarabangsa dan skuad 15’s negara.

Meskipun kenyataan tersebut bertujuan menjernihkan keadaan semasa, namun peminat ragbi tanahair tetap melahirkan reaksi kurang senang terhadap badan induk itu yang disifatkan sebagai ingin melepaskan diri daripada situasi yang terjadi.

Laporan RTM berhubung kenyataan media Malaysia Rugby

Melalui tinjauan Ragbi.my di laman Facebook rasmi Malaysia Rugby Union, rata-rata netizen memberikan respon negatif dan mempertikaikan proses peralihan skuad Rimau 7’s sebagai tidak kena pada masanya sedangkan pemain-pemain sedia ada masih boleh bermain untuk tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

Malah, ada peminat ragbi yang turut mempersoalkan keberkesanan komunikasi antara pihak pengurusan dan pemain yang menjadi punca kepada isu tersebut dibangkitkan di media sosial lalu terus mendapat perhatian umum.

Bagi sesetengah peminat ragbi tanahair, alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pandemik COVID-19 tidak seharusnya dijadikan alasan MR memandangkan pelbagai aplikasi boleh digunakan untuk mengadakan mesyuarat atau perbincangan secara dalam talian namun ianya tidak berlaku sehinggalah hal tersebut diperbesarkan.

Netizen turut mempertikaikan kenyataan Shahrul bahawa kemasukan pemain negara, Zulkiflee Azmi atau Juki ke dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah hasil bantuan MR dan ianya terus mendapat perhatian dan reaksi pelbagai pihak.

Beberapa bekas pemain yang dihubungi Ragbi.my menyifatkan kenyataan akhbar itu dibuat sebagai menutup kelemahan MR di samping memujuk semula kebanyakan pemain yang telah tawar hati dengan kerenah badan tersebut.

Ragbi.my akan terus membawakan perkembangan terkini isu hangat ini dari masa ke semasa, terima kasih kepada pembaca setia kami yang sentiasa menyokong majalah ragbi pertama negara.

Dapatkan keluaran edisi terkini Ragbi.my yang sarat dengan pelbagai liputan
sukan ragbi dalam dan luar negara.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: