PKPP: BERITA BAIK UNTUK RAKYAT MALAYSIA NAMUN PENGANJURAN ACARA RAGBI MASIH TIDAK DIBENARKAN

Perutusan khas YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Mohd Yassin semalam disambut dengan gembira oleh seluruh rakyat Malaysia.

Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos antara lain memberikan kelonggaran kepada rakyat untuk merentas negeri atau erti kata lain boleh pulang ke kampung halaman masing-masing, sesuatu yang tidak boleh dilakukan sejak tiga bulan lalu.

Rata-rata pengguna media sosial, portal berita online dan media masa melaporkan reaksi rakyat yang kini memulakan perancangan untuk balik kampung, bercuti dalam negara, mendapatkan perkhidmatan dandanan rambut, bersukan serta pelbagai aktiviti lain yang dibenarkan kerajaan.

Sumber: Infografik BERNAMA

Namun, di sebalik berita gembira itu, peminat dan penggiat sukan ragbi tempatan terpaksa akur dengan keputusan kerajaan yang masih lagi tidak membenarkan permainan ini dijalankan.

Memetik perutusan Perdana Menteri yang dibaca semalam menyebut, “Dalam kategori sukan, beberapa jenis sukan dan rekreasi akan dibuka semula dengan pematuhan kepada SOP. Ini termasuk latihan persediaan pasukan permainan sukan, aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti bowling, badminton, memanah, menembak dan lain-lain,”

“Aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal juga dibenarkan. Yang masih tidak dibenarkan ialah pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam, dan sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bolasepak, bola keranjang dan hoki,”

Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Mohd Yassin

Ucapan tersebut dengan jelas menyebut ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang, hoki serta lain-lain sukan dikategorikan sebagai ‘sukan bersentuhan’ dan masih tidak dibenarkan buat masa ini.

Ragbi.my membuat tinjauan umum bagi mendapatkan reaksi penggiat ragbi tanahair mengenai perutusan Perdana Menteri semalam.

Bagi Dr. Tengku Rinalfi Putra, 44, dalam PKPP sepatutnya ada inisiatif untuk mengetengahkan model untuk best practice for low risk disease transmission for rugby. Model ni sepatutnya boleh diterokai sebagai persediaan untuk contact game semasa fasa pemulihan pandemik.

Dr. Tengku Rinalfi berharap sukan ragbi dapat diteruskan melalui prosedur & langkah terperinci bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin

Beliau berpendapat, dalam fasa pemulihan ini, risiko untuk penularan wabak semakin rendah. Walau bagaimanapun, satu kaedah untuk menyaring, mengasing dan merawat pemain ragbi perlu dibangunkan.

“Mungkin semua pemain ragbi yang aktif perlu berdaftar dengan satu badan atau aplikasi masa sebenar (real-time) yang akan memantau risiko setiap pemain berdasarkan kesihatan semasa, pergerakan dan sejarah perubatan, yang sekaligus akan memberi status kesihatan yang diyakini kepada pemain-pemain berisiko rendah untuk bermain di dalam satu pertandingan,” ujarnya.

Dalam pada itu Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican dalam sidang medianya hari ini mengumumkan bahawa penganjuran acara atau kejohanan khususnya sukan ragbi masih tidak dibenarkan.

Namun, menurutnya sesi latihan boleh diadakan tetapi berpandukan kepada garis panduan umum iaitu menjaga jarak selamat antara satu sama lain di samping mengelakkan sentuhan antara pemain.

Arahan tersebut merangkumi sukan lain melibatkan sentuhan seperti bola sepak, bola keranjang, hoki serta renang dan lain-lain lagi.

Ikuti perkembangan terkini dunia ragbi tempatan dan antarabangsa dibawakan khas oleh majalah ragbi pertama di Malaysia. Terima kasih kepada pembaca setia kami yang sentiasa menyokong majalah ini.

Klik pada gambar untuk memiliki edisi terkini majalah Ragbi.my

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: