CHEEKY SPARTAN BUKTIKAN SUKAN RAGBI PEMANGKIN KECEMERLANGAN AKADEMIK

Ragbi.my sentiasa menyokong pembangunan ragbi akar umbi kali ini mengambil langkah proaktif bagi memartabatkan sukan ragbi di peringkat sekolah dengan menampilkan sebuah pasukan yang mempunyai sejarah pencapaian gemilang.

Edisi kali ini kami membawakan kisah pasukan ragbi perempuan; CHEEKY SPARTAN yang telah menempa nama di peringkat kebangsaan melalui penyertaan dalam pelbagai kejohanan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac lalu.

Ragbi.my menemubual pengasas Cheeky Spartan iaitu Cikgu Mohd Azli Aziz yang telah menumpukan sepenuh perhatian dan kecintaannya dalam sukan ragbi bagi memajukan sebuah pasukan khusus bagi murid perempuan di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Precint 16 (1).

Menurut Cikgu Azli, Cheeky Spartan ditubuhkan pada tahun 2018 dengan tujuan utamanya adalah untuk mempromosikan sukan ragbi dalam kalangan murid perempuan di samping penyertaan dalam kejohanan tempatan.

Cikgu Azli selaku pengasas dan jurulatih Cheeky Spartan

“Memang banyak cabaran semasa penubuhan pasukan ini terutama sekali untuk mendapatkan kepercayaan ibu bapa bagi membenarkan anak-anak mereka menceburi sukan ragbi,” kata Azli.

Namun di sebalik cabaran tersebut, beliau bersama-sama dengan Cikgu Ainur Azreen Ishak selaku Pembantu Jurulatih dan Cikgu Nadhirah Kamaruzaman sebagai Pengurus Pasukan meneruskan cita-cita membentuk sebuah pasukan ragbi perempuan di samping sokongan padu daripada pihak pengurusan sekolah.

Setelah dua tahun berlalu, Cheeky Spartan kini mempunyai seramai 72 orang pemain yang aktif bagi kategori bawah 10, 12 dan 15 tahun malah sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa turut melonjakkan prestasi pasukan tersebut baru-baru ini.

Antara kejayaan Cheeky Spartan

Bercakap mengenai pencapaian, Azli memberitahu bahawa pendedahan berterusan yang diterima oleh anak didiknya menjadikan Cheeky Spartan semakin hari semakin yakin dalam menghadapi kejohanan disertai.

Namun apa yang lebih membanggakan apabila anak didiknya berjaya menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik meskipun aktif dalam sukan ragbi sekaligus mengharumkan nama sekolah.

“Prinsip asas ragbi yang diajar kepada murid-murid telah membentuk disiplin diri serta semangat berpasukan dalam kalangan mereka dan ianya sangat membantu pencapaian akademik sekolah,” jelas Azli.

Justeru, beliau sentiasa meyakinkan semua pihak bahawa sukan ragbi ialah platform penting dalam membentuk keperibadian diri anak-anak malah negara-negara seperti Jepun, Australia serta United Kingdom telah lama menjadikan ragbi sebagai salah satu cara membangunkan generasi muda mereka, tambahnya lagi.

Antara kenangan manis bersama Cheeky Spartan yang tidak dapat dilupakan Cikgu Azli ialah apabila beberapa anak didiknya berjaya melanjutkan pendidikan ke sekolah-sekolah berasrama penuh hasil kecemerlangan akademik serta pencapaian dalam sukan ragbi.

Pemain Cheeky Spartan yang menjadi contoh serta mengharumkan nama sekolah seperti Tengku Elfayra Raihanah Putri Tengku Rinalfi Putra, Nurdurrah Hani Mohd Iqbal dan Nurul Syafiqqa Sakeri yang terpilih ke Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS), Farra Adriana Shahman ke Kolej Tunku Kursiah manakala Nuraliah Zaifiwan menyertai Sekolah Sukan Malaysia di Gambang, Pahang.

“Bagi pihak pengurusan Cheeky Spartan, kami sangat bersyukur di atas sokongan semua pihak khususnya ibu bapa yang sentiasa membantu dalam apa jua keadaan dan memberi dorongan agar pasukan ini melangkah lebih jauh lagi,” kata Azli.

Penyertaan dalam pelbagai kejohanan memberi pendedahan bermakna buat Cheeky Spartan

Sokongan pihak sekolah melalui Guru Besar, Norihan Ismail serta Yang DiPertua PIBG, Dato’ Seri Dr. Suhaimie Hj Saad turut menjadi faktor kejayaan Cheeky Spartan dalam melahirkan barisan pelapis ragbi wanita negara, katanya lagi.

“Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Cikgu Mohd Hairy Jasemi selaku jurulatih pasukan lelaki yang turut sama berkongsi pengalaman memberi tunjuk ajar dalam program latihan pasukan Cheeky Spartan,” ujar Azli mengakhiri temubual.

PENCAPAIAN PASUKAN CHEEKY SPARTAN (2019/2020)

1. Johan Cup – Girls U12 NRDP Rugby Carnival UPM Serdang 2020

2. Johan Bowl – Girls U15 NRDP Rugby Carnival UPM Serdang 2020

3. Johan Cup – Girls U12 Kolej Matrikulasi Selangor 7’s 2020

4. Johan Cup – Girls U12 Kejohanan Ragbi JUMBO MRSM Alor Gajah Melaka 2020

5. Ketiga Cup – Girls U15 Kejohanan Ragbi JUMBO MRSM Alor Gajah Melaka 2020

6. Johan Cup – Girls U12 SUPER KGV 10’s 2019

7. Johan Cup – Girls U11 SUPER KGV 10’s 2019

8. Johan Cup – Girls U12 Bukit Beruang National 7s Melaka 2019

9. Ke-3 Cup – Girls U15 SMSS Tens 2019

10. Johan Cup – Girls U12 Precint 16th Open 2019

11. Johan Bowl – Girls U9 Queenstown Rugby Carnival, Muar Johor 2019

12. Naib Johan Cup – Girls U12 Convent BP Power Girls 2019, Batu Pahat Johor

13. Ke-3 Cup – Girls U15 SMSS 7s 2019

14. Johan Cup – Girls U15 KGV 7s 2019

15. Johan Cup – Girls U11 Slim Village Rugby Tournament, Slim River Perak

16. Naib Johan Cup – Girls U15 KL Tigers International 2019

17. Johan Cup – Girls U15 KL Highland Games, Bukit Kiara 2019

18. Johan Cup – Girls U12 Milo NRDP Rugby Carnival 2019

PEGAWAI UNTUK DIHUBUNGI:

Mohd Azli Aziz (Jurulatih) 0199537093

Ainur Azreen Ishak (Pembantu Jurulatih) 013 2493133

Nadhirah Kamaruzzaman (Pengurus Pasukan) 0126593809

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: