KECEDERAAN TIDAK HALANG INTANNE TERUSKAN MINAT SUKAN RAGBI

Peningkatan penyertaan wanita dalam sukan ragbi semakin bertambah dari masa ke semasa berikutan usaha mempromosikan sukan itu di pelbagai peringkat.

Kali ini Ragbi.MY membawakan seorang lagi pemain ragbi wanita yang boleh dijadikan sumber inspirasi khususnya bagi mereka yang ingin menceburi dalam sukan ini.

Nadzirah Zainal Abidin atau lebih dikenali dengan Intanne mula melibatkan diri dalam sukan ragbi sejak dari tahun 2011 lagi.

Beliau yang berasal dari Kuala Lumpur dilahirkan pada 25 Julai 1990 kini merupakan seorang guru pendidikan jasmani.

Menyingkap penglibatan Intanne dalam sukan ragbi, beliau bermula dengan FIT Touch iaitu satu cabang ragbi yang boleh dimainkan oleh sesiapa sahaja baik lelaki atau wanita.

“Kali pertama diperkenalkan dengan FIT Touch, saya mula menyukai sukan ini kerana ia mempunyai banyak kelebihan terutama sekali dalam membentuk kecergasan diri,” kata Intanne ketika ditemubual.

“Bagi saya, FIT Touch mendorong pemain untuk lebih kreatif di samping melatih semangat berpasukan dan paling penting dapat mengekalkan kecergasan diri,” tambahnya lagi.

Melalui FIT Touch, Intanne menambah ramai kenalan melalui permainan sosial yang diadakan dan perkembangan terkini menyaksikan lebih ramai wanita melibatkan diri dalam sukan itu.

Team Carisbrook KL semakin dikenali dalam arena FIT Touch

Bukan setakat itu sahaja, Intanne turut membawa cabaran Malaysia pada kejohanan FIT Touch peringkat antarabangsa iaitu di Australia pada tahun 2014.

“Saya sangat berterima kasih kepada coach Khairul Ariffin (coach Ayoi) kerana memperkenalkan sukan ini dan seterusnya melatih saya dan rakan-rakan untuk bermain secara serius hingga mewakili negara,” kata Intanne.

Beliau yang juga graduan UNISEL dan MMU dalam bidang pengurusan sukan dan pentadbiran perniagaan juga mengucapkan terima kasih kepada seorang lagi jurulatih, Ahmad Nazri Abbas (coach Jake) yang telah banyak berjasa dalam membimbingnya dan rakan sepasukan lain.

Meskipun bermain FIT Touch, Intanne tidak terlepas daripada kecederaan di mana pernah sekali mukanya disepak secara tidak sengaja sewaktu melakukan try.

“Memang sakit tapi bila dikenang semula saya dan rakan sepasukan akan ketawa mengingatkan kisah tersebut,” ujar Intanne.

Selain FIT Touch, Intanne turut melibatkan diri dalam ragbi (union) pada tahun 2016 malah berpeluang membarisi skuad wanita negara pada tahun 2017.

“Setelah mendalami teknik-teknik dalam FIT Touch, saya mengambil keputusan untuk mencuba ragbi (union) dan pada ketika itu tidak ramai wanita yang terlibat dalam sukan ini,”

Intanne

Meskipun lebih mencabar namun demi kecintaan Intanne kepada ragbi, beliau membuktikan bahawa halangan tersebut dapat ditempuhi dengan jayanya.

Penglibatan beliau dalam ragbi (union) terhenti di penghujung tahun 2017 apabila tangannya patah sewaktu beraksi di kejohanan Penang 10’s.

“Kecederaan agak teruk pada ketika itu, plat besi dimasukkan bagi menyokong struktur tulang yang patah namun saya tidak sesekali menyesal menyertai sukan ini,” kata Intanne.

Sejak kecederaan itu, Intanne meneruskan permainan FIT Touch sehinggalah beliau dipilih selaku jurulatih bagi membimbing pemain-pemain baru dan berbakat untuk menyemarakkan lagi pembangunan sukan tersebut.

Pada ketika ini, Intanne bermain untuk kelab Tigress Touch KL dan Carisbrook KL serta melatih bakat-bakat baru untuk diketengahkan.

Intanne bersama rakan sepasukan FIT Touch

Bagi mereka yang ingin menceburi sukan FIT Touch, Intanne berpesan agar seseorang pemain itu harus bermula dari kemahiran asas, mempunyai minat yang tinggi serta memahami konsep permainan tersebut.

Intanne juga mengalu-alukan mana-mana kelab yang ingin mendapatkan khidmatnya selaku jurulatih FIT Touch.

Dapatkan edisi terkini majalah Ragbi.my di sini: https://ragbi.my/ragbi-my-shop/

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: