KEADAAN KUMIN SEMAKIN BAIK NAMUN PERLUKAN RAWATAN BERTERUSAN

Tiada siapa menyangka tarikh 17 April 2016 membawa kesan mendalam kepada Izzat Hazziq apabila dirinya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya sewaktu pulang dari Shah Alam ke rumah keluarganya di Senawang.

Berikutan kemalangan tersebut, Izzat yang lebih dikenali dengan panggilan Kumin, koma selama selama 15 hari selain mengalami parah di kepala dan lumpuh seluruh badan sejak daripada peristiwa itu.

Empat tahun berlalu, Kumin yang sebelum ini merupakan antara bakat pelapis ragbi negara masih lagi menjalani rawatan khususnya fisioterapi bagi memulihkan keadaannya.

Menyingkap pembabitannya dalam sukan ragbi, Kumin pernah membarisi skuad remaja negara di samping mewakili Negeri Sembilan dalam SUKMA 2014 serta kelab-kelab seperti NS Wanderers, Lions dan juga COBRA.

Nasib Kumin mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani yang menziarahinya bersama pasukan editorial Ragbi.My semalam.

Taufek yang melihat perkembangan terkini Kumin sempat beramah mesra serta memberi perangsang kepadanya untuk menguatkan semangat dalam proses pemulihan yang sedang berjalan.

Datuk Mohamed Taufek (kanan) sewaktu beramah mesra dan melihat perkembangan terkini Izzat @ Kumin

Manakala bapa Kumin, Baharuddin Mohamed dan ibunya Wan Hanizi Wan Ahmad sentiasa berusaha dan berdoa agar keadaan anak mereka pulih sepenuhnya meskipun mengambil masa yang panjang.

“Jika sebelum ini Izzat hanya terlantar dan tidak boleh menguruskan diri sendiri, kini keadaannya sedikit berubah, dia sudah boleh bercakap dan berdiri dengan bantuan orang lain,” jelas Baharuddin.

Sungguhpun begitu, rawatan Kumin perlu diteruskan dan kosnya semakin meningkat saban tahun.

Ragbi.My mengambil kesempatan ini menyeru komuniti ragbi tanahair untuk sama-sama mendoakan serta memberi sokongan kepada Kumin dan keluarganya melalui proses pemulihan ini.

Sebarang sumbangan bagi membiayai kos rawatan Kumin boleh disalurkan kepada akaun ibunya, Wan Hanizi Wan Ahmad (Maybank : 164351116854)

Kumin bersama jersi & gambarnya beraksi untuk pasukan COBRA yang dibingkaikan sebagai kenangan penglibatannya dalam sukan ragbi

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: