SEMANGAT ‘MALAYSIA BOLEH’ IRINGI PERJUANGAN LAWRENCE DI PERTH

Bintang ragbi kesayangan ramai, Lawrence Petrus yang kini bermain di Australia terus fokus dan komited membantu pasukannya, University of Western Australia Rugby Club (UWA RC) mengumpul kemenangan pada saingan liga Fortescue Premier Grade.

Liga tersebut yang kini memasuki pusingan ketiga daripada 13 pusingan menyaksikan UWA RC berjaya memperoleh dua kemenangan mengatasi Wests Scarborough (33-32) dan Wanneroo Districts RU (36-29).

Ragbi.My menghubungi Lawrence di Perth bagi mendapatkan perkembangan terkini beliau di sana.

Menurut Lawrence, semangat rakan-rakan sepasukannya semakin membara untuk mengekalkan kemenangan kali ketiga berturut-turut apabila turun menentang Coastal Cavaliers di laman sendiri Sabtu ini (18 Julai).

“Kami bermain dengan baik namun masih ada lagi ruang untuk memperbaiki mutu permainan khususnya pada taktikal,” jelas Lawrence.

Bermain sebagai tighthead prop, Lawrence menggunakan sepenuh pengalamannya bersama skuad Bunga Raya untuk memperkuatkan UWA RC menghadapi perlawanan-perlawanan akan datang.

“Pada masa ini saya menumpukan sepenuh perhatian kepada pasukan dan sentiasa berusaha memberikan terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya lagi.

Di kesempatan itu, Lawrence turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada peminat ragbi tanahair yang sentiasa mengikuti perkembangan beliau di sana.

“Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan bertanyakan khabar saya. Semuanya baik di sini dan saya sangat menghargai sokongan daripada komuniti ragbi Malaysia,” kata Lawrence mengakhiri temubual.

Buat Lawrence, selamat maju jaya kami ucapkan dan teruskan menjadi inspirasi pemain-pemain muda untuk mengembangkan bakat ke luar negara.

Dapatkan majalah edisi terkini Ragbi.My di sini: https://ragbi.my/ragbi-my-shop/

Edisi terbaru Ragbi.My

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: