KEMPEN DERMA DARAH ANJURAN ERC CATAT KEJAYAAN

Meskipun tiada sebarang kejohanan dalam masa terdekat, Eagles Rugby Club (ERC) yang berpusat di Sandakan, Sabah mempunyai cara tersendiri untuk menjalankan aktiviti berfaedah buat komuniti ragbi.

Bersempena dengan cuti hujung minggu, ERC menganjurkan Kempen Derma Darah bagi menampung bekalan di Hospital Duchess of Kent (HDOK), Sandakan hari ini.

Menurut Pengurus Besar ERC, Raimi Yusof ketika dihubungi berkata, kempen itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan menghimpunkan komuniti ragbi dan menyumbang kepada masyarakat.


Petugas HDOK sedang menjalankan pemeriksaan kepada bakal penderma

“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan kerana pelbagai lapisan masyarakat telah hadir memberi sokongan kepada penganjuran program ini,” jelas Raimi.

Antara penderma yang sedang menjalani proses menderma darah

Tambahnya lagi, penderma darah terdiri daripada guru-guru, jurulatih, pengurus pasukan serta pemain-pemain di samping ahli keluarga dan orang awam yang hadir menjayakan usaha murni tersebut.

“Di akhir program, kempen ini berjaya mengumpul 47 beg darah untuk digunakan oleh pihak HDOK dan ini adalah satu kejayaan bagi semua yang telah bertungkus lumus sepanjang kempen berlangsung,” kata Raimi lagi.

Jelasnya lagi, kejayaan program seperti ini membuktikan sukan ragbi bukan hanya dimainkan di padang semata-mata, malah mempunyai sebuah komuniti yang sentiasa peka dan sedia menyumbang kepada keperluan masyarakat.


Presiden ERC, Vela Tan (tiga dari kiri) dan Raimi (empat dari kiri) bersama petugas HDOK

“Bagi pihak ERC, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang terlibat khususnya pasukan Tabung Darah HDOK dan semua yang hadir memberi sokongan kepada kami,” kata Raimi.

Turut hadir meraikan penderma dan petugas HDOK ialah Presiden ERC, Vela Tan yang memuji semangat ditunjukkan oleh generasi muda dalam menjayakan kempen itu.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: