LAPAN PEMAIN RAGBI REMAJA KEBANGSAAN TARUHAN NEGERI SEMBILAN

Oleh Mohd Amin Jalil

SKUAD Ragbi Sukan Malaysia (SUKMA) Negeri Sembilan akan mempertaruhkan lapan pemain remaja kebangsaan dalam misi meraih pingat emas pada temasya sukan terbesar negara itu, yang akan berlangsung di Johor Bahru pada Mac 2021.

Ketua jurulatih Mohd Irwan Abdol berkata, mereka ialah Nadzha Roslan, Ali Imran, Kausar Zainuddin, Danish Haikal, Adeen Erfan, Zuhair Norazmi, Amirul Ramzan dan Mohd Khairi.

Katanya, pengalaman mereka beraksi di peringkat permainan yang kompetetif amat ditagih dalam memastikan kutipan pingat berharga itu tidak lagi tersasar pada temasya kali ini.

“Selepas sekadar meraih pingat gangsa pada temasya SUKMA 2018 di Perak, kali ini kita menyasarkan pencapaian yang lebih baik iaitu mendapatkan pingat emas buat kontinjen Negeri Sembilan.

“Kita sedar misi memburu pingat berkenaan bukan suatu tugas mudah kerana saingan daripada pasukan lain amat tinggi, namun kita yakin dengan pengalaman mereka dan persiapan rapi yang sedang dijalankan, sasaran itu tidak mustahil untuk dicapai,” katanya kepada Ragbi.My.

Mohd Irwan berkata,skuad bimbingannya itu yang ketika ini dianggotai 18 pemain sudah memulakan latihan sejak awal tahun ini namun terhenti pada Mac susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan wabak pandemik Covid-19.

Menurutnya, latihan sudah bersambung semula awal Ogos ini namun belum menyeluruh dan dijalankan pada hujung minggu berikutan beberapa pemain yang masih mempunyai komitmen sebagai pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kita terpaksa menyusun rancangan latihan yang konprehensif berikutan kekangan pemain dan latihan intensif dijangka akan bermula September atau awal Oktober.

“Namun begitu, ia tidak akan menjejaskan persiapan dan fokus pasukan untuk mencapai prestasi terbaik sebelum mengharungi cabaran sebenar pada Mac tahun depan.

“Kita akan buat persediaan yang mantap untuk memastikan pasukan benar-benar berupaya memberikan cabaran dan seterusnya merealisasikan sasaran pingat emas, ” katanya.

Mengenai pasukan pencabar utama, Mohd Irwan berkata, Terengganu, Perak, Selangor dan Johor adalah antara pesaing terkuat dalam sukan ragbi di SUKMA nanti berpandukan rekod yang dicapai sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, bukan asing buat Negeri Sembilan untuk berhadapan dengan pencabar terbabit kerana ada antara pemain yang sudah biasa beraksi menentang pasukan berkenaan dalam beberapa kejohanan tempatan.

“Saya yakin dan percaya, melalui persiapan terbaik dilakukan dan penampilan pemain berpengalaman, pasukan kita mampu merealisasikan sasaran yang ditetapkan itu,” katanya.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: