KEJOHANAN TEMPATAN TANGGUH HINGGA SEPARUH KEDUA 2021

Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) hari ini mengumumkan bahawa pihaknya tidak akan menganjurkan sebarang kejohanan tempatan sehingga (selepas) bulan Jun 2021 berikutan pandemik COVID-19 yang masih lagi berlarutan.

Dalam satu kenyataan medianya, KRM menjelaskan bahawa keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat Exco pada 4 September lalu, selepas mendapat maklumbalas daripada persatuan-persatuan gabungan dan ahli-ahlinya.

Hasil mesyuarat tersebut, KRM mengambil keputusan untuk menunda sebarang kejohanan tempatan bagi mengelakkan risiko jangkitan dan penularan pandemik itu.

Dalam pada itu, KRM turut berhadapan dengan situasi kehilangan potensi penaja-penaja utama dalam mempersiapkan pasukan kebangsaan namun akan tetap meneruskan usaha mendapatkan dana bagi persiapan skuad Bunga Raya ke kejohanan antarabangsa.

Antara kejohanan bakal disertai negara ialah Kejohanan Ragbi Asia (15’s) pada Mei hingga Jun 2021 serta Siri Kejohanan Ragbi Asia (7’s) lelaki dan wanita yang dijadualkan pada September 2021.

Turut terkesan akibat penundaan ini ialah penganjuran Liga Ragbi Malaysia 15 sebelah yang dicadangkan pelaksanaannya pada bulan Januari hingga April tahun depan.

KRM turut menegaskan bahawa kebajikan pemain, pegawai serta peminat akan menjadi keutamaan badan induk tersebut dalam usaha pembangunan ragbi di negara ini.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: