ERC SALUR BANTUAN KEMANUSIAAN

Eagles Rugby Club (ERC) mengambil inisiatif menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk sekitar Sandakan yang terjejas berikutan penularan gelombang ketiga pandemik Covid-19.

Pengurus Besar ERC, Raimi Yusof ketika dihubungi Ragbi.MY berkata, program tersebut telah berlangsung selama sembilan minggu dengan tujuan utamanya membekalkan barangan keperluan asas kepada keluarga yang sangat terkesan akibat pandemik Covid-19.

Raimi bersama petugas ERC sewaktu menyampaikan bantuan bekalan makanan asas kepada penduduk sekitar Sandakan

“Program yang dinamakan #rugbycares mendapat perhatian komuniti ragbi serta dermawan yang menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan untuk disalurkan kepada golongan sasar,” jelas Raimi.

Bekalan makanan disiapkan oleh petugas & sukarelawan ERC untuk diedarkan

Menurutnya lagi, setiap minggu pihaknya berjaya mengumpulkan bekalan makanan asas yang mencukupi untuk 40 hingga 60 buah keluarga.

Barangan keperluan seperti beras, gula, mee segera, minyak masak, tepung gandum, sardin, susu tepung bayi, susu tin serta beberapa bahan asas lain dijadikan kit bantuan dan diedarkan kepada keluarga yang memerlukan.

Kit makanan asas yang diedarkan hasil daripada sumbangan semua pihak

“Kesemua sumbangan yang dikumpulkan kemudiannya dihantar ke lokasi oleh pasukan petugas dan sukarelawan ERC yang sentiasa komited dalam melaksanakan misi kemanusiaan ini,” tambah Raimi lagi.

Bekalan makanan

“Melalui kempen #rugbycares, kami sangat mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan kerana saban hari kami menerima banyak permohonan bantuan daripada penduduk yang terjejas teruk seperti hilang pekerjaan dan sumber pendapatan,” ujar Raimi.

Pasukan petugas bantuan kemanusiaan ERC bertungkus lumus menyalurkan bekalan kepada keluarga terjejas sekitar Sandakan

“Bagi pihak ERC, kami sangat berterima kasih kepada semua dermawan dan sokongan rakan-rakan komuniti ragbi yang sentiasa menyokong usaha murni ini,”

“Meskipun sukan ragbi terhenti seketika, tidak bermakna kita tidak boleh melakukan apa-apa dan program sebegini seharusnya dijadikan keutamaan dalam membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya lagi.

Video highlight misi kemanusiaan ERC untuk penduduk Sandakan

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0
%d bloggers like this: